Rabu, 23 Oktober 2013

SPR UMUM SATU LAWAN SATU DI SG LIMAU

Q&A: Makna asnaf fi-sabilillah

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 23 Okt 2013
Soalan:
Apa makna Fi Sabilillah dalam Asnaf Zakat? Bolehkah menyalurkan zakat kepada badan atau pertubuhan Islam?

Jawapan:
Orang-orang yang berhak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah. Tidak boleh sewenang-wenangnya kita membayar zakat kita kecuali kepada aspek-aspek yang ditentukan Syarak. Menurut jumhur ulama; jika seorang telah tersalah memberikan zakatnya yakni ia membayar zakatnya kepada orang yang tidak layak menerima harta zakat, maka zakatnya tidak sah dan wajib diulangi. (al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 514). Kerana itu, amat penting kita memerhatikan kepada siapa kita salurkan zakat kita? Dalam hal ini Allah berfirman;

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (yakni zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
(at-Taubah: 60)

Dalam ayat di atas Allah menyatakan lapan pihak untuk disalurkan harta zakat iaitu;
1.Untuk golongan fakir
2.Untuk golongan miskin
3.Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
4.Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
5.Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
6.Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
7.Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
8.Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan

Apa makna Fi Sabilillah?

Antara aspek yang harus diberi perhatian untuk disalurkan zakat kita ialah Fi Sabilillah. Namun yang menjadi persoalan ialah apa makna Fi Sabilillah itu dan siapa yang tergolong di dalamnya. Dalam hal ini ada pendapat menyempitkan skopnya dan ada pendapat memperluaskannya.

Kebanyakan ulama terdahulu mengkhususkan Fi Sabilillah ini kepada ahli-ahli peperangan iaitu orang-orang yang terlibat dengan jihad qital. Uama mazhab Syafi’ie mengkhususkannya bagi ahli-ahli peperangan yang tidak dibayar gaji mereka oleh pemerintah. Jika mereka telah diberi gaji dari Baitul Mal, tidak layak lagi mereka menerima zakat. (Lihat al-Muhazzab, Imam asy-Syirazi, jil. 1, hlm. 571).

Namun ada juga ulama yang meluaskan makna Fi Sabilillah itu. Mereka tidak menjuruskannya kepada ahli-ahli peperangan sahaja, tetapi meluaskannya hingga merangkumi seluruh perkara yang bersangkutan kepentingan Islam dan umat Islam terutama untuk meninggikan hukum-hakam dan syiar Islam. Antara ulama yang berpandangan sebegini ialah Imam al-Qaffal asy-Syafi’ie, Imam al-Kasani, Imam al-Alusi, as-Shon’ani, Abi Thayyib Shadiq Ibn Hasan al-Qanuji dan sebagainya.

Berkata Imam al-Kasani dalam kitabnya yang terkenal “Badai' as-sonai”; "Adapun firman Allah Fi Sabilillah  ia adalah ungkapan bagi semua usaha yang mendekatkan diri kepada Allah. Maka termasuk di dalamnya semua orang yang berusaha melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berusaha di jalan kebaikan jika ia seorang yang memerlukan (harta zakat)”. Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi; Imam al-Qaffal telah menaqalkan dalam tafsirnya dari beberapa Fuqaha’ yang mengharuskan dibelanjakan zakat untuk semua bentuk kebaikan/kebajikan seperti membina benteng-benteng pertahanan, membangunkan masjid dan sebagainya kerana ungkapan Allah Fi Sabilillah itu adalah umum. (Tafsir ar-Razi: 16/113, Lihat Fiqh az-Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 2, hlm. 689).

Berkata Abi Thayyib Shadiq Ibn Hasan al-Qanuji dalam kitabnya "Ar-Raudhatun Nadiyyah”; “Adapun Fi Sabilillah maka maksudnya di sini ialah jalan Allah. Jihad walaupun sebesar-besar jalan Allah tetapi tidak ada dalil yang mengkhususkan bahagian Fi Sabilillah kepadanya sahaja. Jadi bahagian Fi Sabilillah ini harus dibelanjakan kepada setiap perkara yang menjadi jalan Allah….Ia berkata lagi; Antara yang tergolong dalam Fi Sabilillah ialah membelanjakannya kepada alim-ulama yang melaksanakan urusan-urusan kepentingan agama kaum muslimin. Mereka memiliki bahagian dari harta Allah (yakni harta zakat) sama ada mereka kaya atau miskin. Bahkan membelanjakan zakat ke arah ini terdiri dari uruan-urusan yang paling penting kerana para ulama adalah waris para Nabi dan pemikul agama. Melalui mereka terpelihara keutuhan Islam dan Syariat yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW”. (Ar-Raudhatun Nadiyyah, juz. 1, hlm. 206)

Pendapat kedua (yang memperluaskan skop Fi Sabilillah) inilah yang dipersetujui oleh kebanyakan tokoh-tokoh ulama Islam zaman mutakhir ini. Antara mereka ialah Syeikh Jamaluddin al-Qasimi (pengarang kitab tafsir terkenal “Mahasin at-Takwil”), Syeikh Rasyid Ridha, Syeikh Mahmud Syaltut (bekas Mufti Mesir), Syeikh Hasanin Makhluf (juga bekas Mufti Mesir), Dr Abdul Karim Zaidan dan Dr Yusuf al-Qaradhawi.

Berkata Syeikh Rasyid Ridha dalam tafsirnya al-Manar; “Setelah dibuat kajian jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan Fi Sabilillah di sini ialah segala urusan kepentingan umum kaum muslimin yang dengannya tertegak urusan agama dan Negara. Ia bukan urusan kepentingan individu….”. (Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 692)

Menurut Syeikh Mahmud Syaltut; “…Tergolong dalam Fi Sabilillah ialah menyediakan pendakwah-pendakwah Islam untuk berperanan menzahirkan keindahan agama Islam dan sikap toleransinya, menyebarkan ajarannya, menyampaikan hukum-hakamnya dan memerhati serangan-serangan musuh terhadap prinsip-prinsip Islam dan berusaha menangkisnya. Begitu juga termasuklah tugas memastikan berterusannya para Hafiz yang menjaga al-Quran (dari hilang) yang menaqalkannya secara mutawatir sejak dari mula turunnya wahyu hingga ke hari ini, bahkan hingga ke hari kiamat." (al-Islam; ‘Aqidatan wa Syari’atan, Syeikh Mahmud Syaltut, hlm. 105).

Syeikh Hasanin Makhluf – bekas mufti Mesir- pernah ditanya adakah harus mengeluarkan zakat kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan Islam. Maka ia memberi fatwa yang mengharuskannya dengan bersandarkan kepada pendapat yang dinaqalkan oleh Imam ar-Razi dari al-Qaffal dan ulama lainnya dalam memperkatakan pengertian Fi Sabilillah. (Lihat Fatawa Syar’iyyah, Syeikh Hasanin Makhluf, jil. 2,hlm. …)

Dr Yusuf al-Qaradhawi, antara pandangan beliau dalam Fiqh Zakatnya ialah; “Sesungguhnya antara perkara terpenting pada hari ini untuk dianggap sebagai Fi Sabilillah ia usaha secara serius untuk mengembalikan cara hidup Islam yang sebenarnya iaitu cara hidup yang melaksanakan hukum-hakam Islam keseluruhannya merangkumi persoalan aqidah, kefahaman, syiar dan Syariat, akhlak dan juga adat resam. Yang kita maksudkan dengan usaha secara serius itu ialah usaha secara berjamaah (‘amal jama’ie) yang tersusun dan berhadaf bagi merealisasikan sistem Islam, menegakkan negara Islam, mengembalikan khilafah Islam, umat Islam dan juga tamadun Islam. Aspek inilah yang sebenarnya paling berhak untuk disalurkan zakat-zakat harta mereka dan juga sekelian derma-derma mereka oleh orang-orang yang cintakan Islam. Namun demikian amat mendukacitakan kerana kebanyakan kaum muslimin belum memahami kepentingan usaha ini dan keperluan mendokongnya dengan jiwa dan harta-benda mereka serta kewajipan mengutamakannya dalam menyalurkan segala bantuan yang termampu oleh mereka. Padahal golongan-golongan yang lain (golongan fakir, miskin dan sebagainya) tidak pernah berhenti tangan yang menghulurkan bantuan kepada mereka sama ada dari harta zakat dan juga bukan zakat”. (Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 712).

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Muslim Care prihatin penduduk pedalaman Borneo

Hazayani Zakaria, 23 Okt 2013

Ibadah korban bukan lagi menjadi perkara asing bagi masyarakat Islam di Semenanjung Malaysia setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha.

Namun mungkin ramai yang tidak menyangka masih terdapat masyarakat di pedalaman Sabah dan Sarawak yang belum pernah merasai ibadah korban di tempat mereka mahupun menerima daging korban.

Menyedari perkara ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia mengambil tanggungjawab meneruskan misi dakwah dan korban di pedalaman Sabah dan Sarawak pada tahun ini.

Bermula 15 hingga 19 Oktober lalu, sepuluh sukarelawan dari Semenanjung, lapan dari Muslim Care dan dua dari Nisa' Malaysia berkampung di Borneo bagi menjayakan misi tersebut.

Menurut ketua misi, Abdul Razak Mohamed yang juga Setiausaha 1 Muslim Care Malaysia, tahun ini merupakan tahun ketiga Muslim Care menganjurkan misi dakwah dan korban di Borneo.

Tidak menafikan bantuan rakyat Malaysia ke luar negara, beliau berkata, para penyumbang juga perlu menyedari tanggungjawab membantu rakyat Malaysia di pedalaman.

"Keperluan mendesak untuk meneruskan misi ini kerana lokasi atau kampung-kampung yang kita pergi itu, semuanya baru pertama kali terima daging korban atau melakukan ibadah korban.

"Jadi atas dasar itulah yang membuatkan Muslim Care meneruskan misi ini setiap tahun.

"Kita lihat terlalu ramai rakyat Malaysia yang membuat ibadah korban di luar negara. Tiada masalah dalam hal ini malah Muslim Care pun ada buat misi korban di Kemboja, Vietnam, Myanmar, Syria dan lain-lain negara tapi kita kena imbangkan, jangan terlalu fokus kepada luar negara.

"Sedangkan dalam negara kita sendiri terdapat saudara kita terutama sekali saudara baru yang dipinggirkan bukan sahaja dalam bab ibadah korban malah dari sudut dakwah," katanya.

Muslim Care mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sepanjang misi berlangsung.

Pada hari pertama di Sabah, ibadah korban dijalankan di Kampung Tinutuan di Daerah Ranau dengan menyembelih 2 ekor lembu.

Dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, peserta misi bergerak dari Pekan Ranau menuju ke Kampung Tinutuan yang mengambil masa satu jam setengah, dengan keadaan jalan yang tidak bertar dan berbukit bukau.

Setengah hari berada di Kampung Tinutuan, peserta misi bergerak pula ke Kampung Lobou Lama dan Kampung Daramakon, juga di Daerah Ranau untuk mengagihkan bantuan kepada penduduk.

Peserta misi bersama kakitangan Jakim dan JHEAINS bergotong-royong dengan penduduk kampung melapah daging  dan memasak makanan tengah hari.

Di samping itu, barang keperluan harian seperti beras, minyak, gula, dan lain-lain serta naskah kitab terjemahan Al-Quran dan telekung solat wanita turut diagihkan kepada penduduk kampung.

Pada hari kedua pula, ibadah korban dijalankan di Kampung Mesilou, Kundasang dengan menumbangkan seekor lembu dan 2 ekor kambing.

Manakala di Sarawak, ibadah korban dijalankan di Kampung Bawang di Daerah Padawan, iaitu sebuah perkampungan Bidayuh.

Muslim Care mendapat kerjasama daripada Unit Saudara Kita (USK), sebuah NGO yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam Sarawak.

Selain itu, bantuan turut diagihkan kepada penduduk Kampung Git, Kampung Sikog, Kampung Mambong, dan Kampung Temurang, juga di Daerah Padawan. Sehari sebelumnya ibadah korban telah diadakan di Kg Resit di daerah Serian.

'20 tahun ketinggalan ilmu agama'


Sementara itu, Abdul Razak berkata, paling menyentuh perasaan beliau apabila terdapat kampung yang mempunyai 180 orang Islam masih tidak mempunyai surau.

Malah katanya, penduduk merayu agar surau dibina di kampung mereka bagi memudahkan mereka beribadah.

"Ada satu kampung yang kita pergi, penduduk sudah menganut agama Islam sejak tahun 1982 tapi tahun ini baru dapat merasakan daging korban. Ada 180 orang Islam iaitu saudara baru tapi kampung tak mempunyai surau".

"Jadi mereka merayu untuk kita cuba bantu mereka untuk dirikan sebuah surau dan kita akan fikirkan jika kita boleh membuat sesuatu untuk membantu mereka mendirikan surau di kampung mereka.

"Kampung jauh dengan jalan yang teruk bagaimana mereka nak mendirikan Solat Jumaat jika tak ada surau, tak ada masjid," luahnya kesal.

Selain itu katanya, kurangnya pendakwah yang masuk ke kawasan pedalaman menyebabkan mereka ketinggalan dari sudut ilmu agama dan hidup dalam kejahilan.

Beliau berkata, masalah kefahaman mengenai agama Islam bukan sahaja timbul dalam kalangan saudara baru malah turut dihadapi masyarakat yang Islam sejak lahir akibat kurangnya pendedahan mengenai Islam.

"Tak ada pendakwah yang pergi ke kampung mereka menyebabkan mereka ketinggalan dua puluh tahun dari segi ilmu agama.

"Contohnya di Sarawak masalah yang besar dari sudut kefahaman Islam bukan sahaja kepada saudara baru tetapi kepada pengganut Islam yang asal. Mereka mengamalkan cara hidup bukan dengan cara islam. Bila saudara baru masuk Islam mereka keliru.

"Perkembangan majlis ilmu di Sarawak amat terhad, tidak seperti di semenanjung. Jadi bila majlis ilmu di surau terhad dan dakwah pun jarang masuk jadi menambahkan kejahilan mereka," katanya lagi.

Justeru Abdul Razak berkata, Muslim Care menyeru NGO dan lebih banyak syarikat korporat agar bekerjasama dengan mereka untuk turus menyebarkan dakwah kepada masyarakat di pedalaman.

"Saya mengajak NGO-NGO lain untuk bersama-sama dan apabila banyak penyertaan kita boleh bahagikan kawasan dan juga saya berharap syarikat GLC atau syarikat korporat atau badan kerajaan dapat memberikan bantuan dari segi dana untuk kerja-kerja dakwah.

"Tidak ada masalah jika mereka tidak mempunyai tenaga kerana Muslim Care mempunyai ramai sukarelawan yang boleh membantu.

"Mereka boleh salurkan dana dan Muslim Care boleh laksanakan misi dakwah ke pedalaman dengan bantuan agensi-agensi seperti Jakim," katanya.


Sistem syariah dan sivil berjalan seiring di Brunei

Harakahdaily, 23 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Brunei tidak memansuhkan hukuman jenayah sivil di negara Melayu Islam Beraja itu, malah dua sistem keadilan itu berjalan seiring dan membawa cabaran yang unik, kata Peguam Negara Brunei Darussalam, Datin Seri Paduka Dayang Hayati Mohd Salleh (gambar).

Ketika  membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kebolehlaksanaan Undang-Undang Sivil Berjalan Seiring Dengan Undang-Undang Jenayah Syar’iah' pada ceramah Majlis Ilmu 2013, di Dewan Persidangan Dua, Pusat Persidangan Antarabangsa, Bandar Seri Begawan, semalam, beliau berkata,  had umur bagi perlakuan kesalahan bagi Undang-Undang Jenayah Syariah adalah tujuh tahun.

Bagaimanapun kanak-kanak berumur tujuh tahun ke bawah akan hanya disabitkan kesalahan jika ia mempunyai kematangan yang mencukupi untuk memahami sifat dan akibat dari perbuatan jenayah yang dilakukan, lapor Pelita Brunei.

Menurut Dayang Hayati, semua prosedur jenayah  akan didengar di mahkamah terbuka kecuali bagi beberapa kes seperti  rogol dan sebagainya.

Proses pendakwaan, tambahnya dibuat pendakwaraya dan timbalan pendakwaraya dari Pejabat Peguam Negara yang turut menjalankan pendakwaan di Mahkamah Sivil.

Jelas beliau, pendakwa raya mempunyai kuasa di dalam perlembagaan dan tidak boleh dipersoalkan demi menjaga kepentingan awam dan tidak memihak kepada pihak tertentu.

"Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara menjalankan pendakwaan dengan bekerja rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti Biro Mencegah Rasuah, Polis Diraja Brunei, Imigresen, Kastam dan sebagainya," ujarnya.

Menyentuh aspek penyiasatan, Dayang Hayati berkata  penyiasatan dijalankan pegawai-pegawai agensi penguatkuasaan yang memiliki kuasa masing-masing dalam sesuatu tindakan yang dikeluarkan oleh mahkamah dengan melalui beberapa proses.

Peguam Negara Brunei itu turut menjelaskan kebolehlaksanaan dan proses penyelarasan  Undang-undang Sivil yang berjalan seiring dengan Undang-Undang Jenayah Syar’iah.

Beliau turut menyentuh kesalahan-kesalahan yang bertindih (overlapping) di bawah bidang kuasa kedua-dua Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil termasuk bagaimana penyiasatan, penelitian keterangan dan pendengaran kes-kes yang melibatkan kesalahan-kesalahan sedemikian boleh dilaksanakan.


Ustaz Azam sedia pikul tanggungjawab

Muhammad Faizal, 23 Okt 2013
JERAI: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh parti serta meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak.

Beliau turut merasakan tanggungjawab tersebut adalah cukup berat dan besar apatah lagi untuk meneruskan kemenangan PAS selama lima penggal.

"Saya cukup terharu apabila diberi amanah oleh kepimpinan parti bagi mewakili PAS pada PRK kali ini.

"Ini merupakan satu amanah yang cukup berat untuk saya laksanakan apatah lagi untuk mengekalkan kemenangan yang diperolehi selama lima penggal.

"Namun tanggungjawab ini akan saya laksanakan sepenuh bagi memastikan segala amanah dan legasi Allahyarham Ustaz Azizan dapat kita teruskan," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau yakin amanah yang diberikan itu bukan hanya dilakukan olehnya seorang diri tetapi turut dibantu oleh jentera parti serta penyokong peringkat kawasan serta seluruh negara.

"Walaupun amanah ini cukup berat tetapi saya yakin saya tidak keseorangan, saya dibantu oleh seluruh jentera sama ada PAS mahupun dari rakan dalam Pakatan Rakyat.

"Sokongan dan dukungan khususnya dari suadara mara dan rakan taulan serta pelajar saya, maka saya pasti kemenangan ini dapat dikekalkan," kata beliau.

Azam memberitahu tapak yang didirikan oleh Allahyarham Ustaz Azizan sudah pun dibina oleh kepimpinan sebelum ini.

Justeru, ujarnya sesiapa yang memenangi Dun Sungai Limau ini akan meneruskan tanggungjawab yang ditinggalkan oleh pemimpin sebelumnya.

"Allahyarham Ustaz Azizan telah melaksanakan tanggungjawab pemimpin sebelum ini, selama lima penggal beliau berkhidmat dan sebagai asas untuk tidak menghampakan kerja-kerja beliau sebelum ini.

"Saya akan bekerja keras untuk memastikan pada 4 November nanti PAS terus menguasai Dun Sungai Limau.

"Saya menyeru seluruh pengundi yang berada dalam Dun ini atau di luar dapat membuat pilihan tepat supaya apa yang dilakukan oleh Azizan dapat kita teruskan," sambung beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerai.

Kempen: Ustaz Azam gesa hormati penduduk setempat

Muhammad Faizal, 23 Okt 2013
JERAI: Calon PAS PRK Dun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat berharap kempen pilihan raya kecil itu berlangsung dalam keadaan harmoni dan damai.

Katanya, setiap jentera kempen tidak kira sama ada daripada Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional (BN) perlu menghormati amalan yang dilakukan oleh penduduk setempat.

(Gambar:Ustaz Azam berbual dengan Tuan Guru Abdul Hadi sebelum perarakan calon, pagi ini. Foto blog Kerabu Bersuara)

"Penduduk di sini mempunyai penghayatan Islam yang cukup tinggi, mereka telah lama mengamalkan kehidupan yang harmoni dan damai walaupun mempunyai perbezaan politik.

"Jadi kita perlu menghormatinya dan menjalankan tugas kempen dengan lebih berhemah tanpa ada kempen fitnah yang boleh menimbulkan provokasi sehingga boleh menyebabkan putusnya hubungan silaturahim antara penduduk," ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Jerai.

Azam yang ketika ditanya mengenai pendekatan yang akan ambil, beliau menjelaskan konsep bermesra dan dekat dengan pengundi menjadi keutamaannya.

"Pendekatan yang saya akan ambil adalah bermesra dan dekat dengan pengundi, kita menyantuni masyarakat setempat.

"Tidak kira tua atau muda, sikap hormat dan santuni serta mesra dengan mereka akan memberi kelebihan kepada kita untuk mereka menyokong PAS pada PRK nanti.

"Saya harap dengan pendekatan ini seluruh pengundi dapat menerima saya dan beri sokongan yang padu kepada PAS," jelasnya lagi.

Beliau yang pada masa sama turut meminta agar media arus perdana dapat memberi liputan yang sewajarnya kepada Pakatan Rakyat khususnya PAS tanpa mengira apa jua fahaman politik.

SPR umum satu lawan satu di Sg Limau

Harakahdaily, 23 Okt 2013


JERAI: Hari ini berlangsungnya proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecdil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau, Kedah.

Pusat Penamaan calon hari ini ditetapkan di Dewan Dato' Madi, Yan.

Kelmarin, PAS mengumumkan Ustaz Mohd Azam Abdul Samat sebagai calon mereka yang akan menentang calon BN Ahmad Sohaimi Lazim.


LAPORAN LANGSUNG

10.15am - Pegawai Pengurus Pilihan Raya secara rasmi mengumumkan pertandingan satu lawan satu di N20 PRK Sungai Limau.

Calon PAS Ustaz Azam menyerahkan borang pencalonan jam 9.05 minit pagi manakala calon BN Ahmad Sohaimi pada jam 9.04 pagi.



10.05am - Pegawai SPR mengumumkan tempoh penyerahan borang pencalonan telah ditutup tepat jam 10 pagi tadi.

9.45am - Sementara itu, penyokong Pakatan Rakyat mula mengadakan pentas pidato dipengerusikan Leman Raja Lawak. Beberapa pemimpin dilihat mula memberi ucapan bergilir-gilir.

9.30am - Cuaca yang cerah sejak pagi tadi mula bertukar sedikit mendung. Suasana penyokong kedua-dua pihak bagaimanapun masih dalam keadaan tenang menunggu pengumuman rasmi dari SPR.

9.10am - Pelbagai spanduk turut kelihatan termasuk 'BN: Barang Naik'. dan 'Kekal Sungai Limau'.

9.05am - Di luar pagar dewan, penyokong kedua-dua pihak dipisahkan oleh polis dalam jarak kira-kira 200 meter. Sementara menunggu pengumuman rasmi dari SPR, penyokong Pakatan dilihat berterusan melaunkan slogan hidup Islam, hidup rakyat dan juga berselawat dan berdoa.

9.03am - Calon PAS, Ustaz Azam dilihat masuk ke dewan pusat penamaan untuk menyerahkan borang pencalonan, Beliau diiringi pencadang dan penyokong.

9.00am - Pegawai SPR mengumumkan pusat penamaan calon dibuka tetapt jam 9 pagi ini.

8.50am - Kelihatan calon BN, Ahmad Sohaimi tiba di pusat penamaan diiringi pemimpin tertinggi parti itu.



8.40am - Dewan pusat penamaan hanya akan dibuka jam 9 pagi. Sementara menunggu, mereka dilihat ditempatkan di khemah khas yang disediakan SPR di perkarangan dewan.

8.35am - Turut dilihat hadir, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, AJK PAS Pusat Dr Mohd Hatta Ramli serta Dr Siti Mariah Mahmud. kesemua mereka bersama Presiden PAS serta calon, Ustaz Azam dilihat masuk ke perkarangan pusat penamaan.

8.30am - Perarakan tiba di pintu pagar pusat penamaan calon, Dewan Dato' Madi. Keadaan terkawal dengan kerjasama pihak polis.

8.25am - Perarakan diiringi laugan takbir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, serta laungan hidup Islam dengan pasukan petugas unit amal mengawal keselamatan dan lalulintas.

8.20am - Presiden PAS mengetuai perarakan. Antara pimpinan utama Pakatan yang dilihat turut serta termasuk Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali dan Ahli Parlimen Sg Petani Datuk Johari Abdul.

8.15am - Perarakan ke pusat penamaan calon yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid dimulakan. Lebih 2000 penyokong menyertai perarakan.



8.08am - Calon PAS, Ustaz Azam tiba di masjid, beliau berpakaian baju Melayu hijau bersampin dan dilihat menunaikan solat hajat dan berdoa sejurus tiba.

8.05am - Presiden PAS mengimami solat hajat. lebih 500 orang sudah berada di masjid ketika ini.

8.00am - Keadaan cuaca baik. Penyokong mula memenuhi perkarangan masjid.

7.50am - Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tiba di Masjid Jamek Badlishah. Difahamkan beliau akan mengimami solat hajat sebelum mengetuai perarakan mengiringi calon PAS ke pusat penamaan.

7,30am - Orang ramai khususnya penyokong-penyokong parti mula membanjiri pekan Yan, keadaan lalulintas terkawal.

PKR, DAP akan pastikan PAS kekal di Sg Limau

Muhammad Faizal, 22 Okt 2013

JERAI: PKR dan DAP berikrar memberi komitmen sepenuhnya bagi membantu PAS untuk mengekalkan kemenangan di kerusi Dun Sungai Limau pada pilihan raya kecil itu 4 November ini.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata selaku rakan PAS dalam Pakatan Rakyat, PKR akan turut sama berkempen dan berikrar untuk memenangkan calon PAS.

"Kita dari PKR akan turut sama berkampung mulai hari ini sehingga hari pengundian nanti bagi usaha untuk berkempen bersama-sama PAS agar kerusi ini terus kekal di tangan parti itu.

"PKR yang akan diketuai Datuk Johari Abdul akan melaksanakan tugas mereka selari dengan apa yang dikehendaki oleh PAS dan kita turut meletakkan beberapa individu yang mempunyai kepakaran agar serangan kita terhadap Barisan Nasional (BN) berjalan dengan lancar," jelas beliau.

Katanya lagi, kemenangan PAS pada PRK kali sangat penting sebagai satu isyarat kepada kerajaan agar tidak terus membebani rakyat.

Selain itu katanya, kemenangan ini juga sebagai satu 'amanah kedamaian' yang akan diteruskan setelah sekian lama diperjuangkan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak," ucap beliau.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut sama hadir pada majlis tersebut menyatakan dengan tema 'kekal' yang akan digunakan PAS, sangat bertepatan.

Jelasnya lagi, kemenangan pada 4 November nanti juga merupakan satu isyarat jelas untuk Pakatan Rakyat serta rakyat membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita yakin PAS dengan calon yang diumumkan ini akan terus berada di kerusi Dun Sungai Limau.

"Kemenangan kita merupakan satu isyarat yang amat jelas untuk kita membuat perubahan pada PRU14 nanti," ucapnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengundi agar tidak terpengaruh dengan fitnah yang akan digunakan oleh BN dalam kempen mereka nanti.

Katanya, BN pasti akan menberitahu kepada rakyat tentang sikap perkauman DAP yang anti kepada Melayu serta mengatakan PAS menjadi alat kepada DAP.

"Pengundi perlu berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan kempen fitnah BN terhadap rakan-rakan parti di dalam Pakatan Rakyat.

"Mereka pasti menuduh DAP anti Islam dan Melayu, malah akan mengatakan PAS menjadi alat kepada DAP.

"Saya sehingga sekarang mengesa mereka kemukakan bukti manakah yang kata DAP anti Islam atau Melayu tetapi sehingga sekarang tidak ada apa-apa bukti ditunjukkan," ucapnya.

Beliau yakin dengan apa yang telah dibina oleh Ustaz Azizan sebelum ini, pengundi tidak terpengaruh dan bijak dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Bantah GST di laluan masuk parlimen Jumaat ini

Anis Nazri, 22 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan himpunan membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST), sempena pembentangan Bajet 2014, Jumaat ini.

Himpunan yang akan diadakan di laluan masuk bangunan Parlimen itu akan diadakan pada jam 3 petang.

Antara agenda yang akan diadakan pada himpunan itu ialah pidato daripada wakil-wakil parti politik dan NGO, flashmob, dan penyerahan memorandum kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Selepas selesai penyerahan memorandum tersebut, satu sidang media juga dijadualkan akan diadakan.

Sehubungan itu, DPPM menyeru orang ramai agar menyertai himpunan tersebut bagi menyatakan pendirian terhadap pelaksanaan GST yang membebankan.

Isu kontroversi GST ini akan dimasukkan ke dalam Bajet 2014 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pelaksanaan GST ini disifatkan membebankan rakyat, khususnya kepada rakyat yang berpendapatan rendah.

Tiada ulasan: