Sabtu, 26 Oktober 2013

MUNGKIR JANJI ADAKAH AKHLAK YANG BAIK

Bajet: Tiada pelan konkrit untuk OKU

Harakahdaily, 26 Okt 2013
KUALA LUMPUR:Sekretariat Prihatin OKU, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Parti Islam Semalaysia melalui pengerusinya Mohammad Faizal Che Yusof, meminta kerajaan menunjukkan kesungguhan membantu golongan OKU.

“Selain sejumlah peruntukan sebanyak RM441 juta, kami dapati tiada sebarang pengumuman berkaitan langkah-langkah strategik untuk dilaksanakan bagi memacu pembangunan OKU yang menyeluruh di Negara ini.” Demikian ulasnya dalam kenyataan media yang dihantar kepada harakahdaily.

Yang perikut adalah kenyataan penuh Sekretariat Prihatin OKU

Pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan Malaysia dalam pembentangan belanjawan 2014 berkaitan Orang Kurang Upaya adalah suatu menifestasi peri pentingnya suara OKU yang terus bersatu mengatasi kefahaman politik dan anutan agama.

Pentadbiran kerajaan yang ada pada hari ini harus menunjukkan iltizam yang sepenuhnya sebagaimana janji yang diumumkan dalam belanjawan 2014 iaitu melihat pembangunan OKU berdasarkan potensi OKU dan keperluan sebenar OKU yang pelbagai katagori.

Selain sejumlah peruntukan sebanyak RM441 juta, kami dapati tiada sebarang pengumuman berkaitan langkah-langkah strategik untuk dilaksanakan bagi memacu pembangunan OKU yang menyeluruh di Negara ini.

Justeru, sebagai mewakili suara OKU, kami menggesa agar perencanaan yang akan dilaksanakan benar-benar memberi manfaat langsung kepada OKU dan ahli keluarga tanpa ada ketirisan dan tiada pihak yang akan mengambil kesempatan.

(Mohammad Faizal Che Yusof)
Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU

Mengapa PAS bantah GST?

Harakahdaily, 26 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)  untuk meningkatkan pendapatan.

“Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST,” tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Katanya, pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat.

“Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja,” ujarnya lagi.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan langkah baru untuk menambahkan pendapatan negara.

Ia adalah cara mengambil duit daripada rakyat melalui cukai yang dikatakan saksama sebagai pendapatan kerajaan.

Peluasan asas cukai ini mustahak untuk Malaysia, dakwa sesetengah pihak kerana hanya kira-kira 10 peratus daripada penduduk yang bekerja membayar cukai pada masa ini.

PAS tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, kerana rata-rata rakyat sedang membayar cukai tersembunyi tanpa diketahui mereka.

Umpamanya pembelian kereta, semua rakyat yang mempunyai kereta sudah dikenakan cukai.

Dengan GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas setiap pembelian.

Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila GST diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada 6 peratus.

Di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar 3 peratus sebelum beransur menjadi 7 peratus.

Ada yang berkata masyarakat kampung tidak akan merasai beban daripada GST. Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.

Barangan itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi had minimum perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah dikenakan GST oleh pembekal.

Jangan terlalu gembira dengan pengumumkan pelbagai barangan asas seperti tepung, gula, beras dan garam tidak dikenakan GST. Hakikatnya, apa-apa yang dihasilkan daripada tepung, gula, beras dan garam kepada makanan siap yang sampai ke tangan pengguna boleh dikenakan GST.

Perkara terpenting dalam perlaksanaan GST ialah penguatkuasaan, bab yang kerajaan BN terkenal sebagai kelemahannya.

Untuk memastikan GST berfungsi dengan baik yakni menjana pendapatan yang seharusnya bagi kerajaan, penguatkuasaan kepada semua yang mengenakan GST perlu dilakukan secara saksama dan adil.

PAS terbayang akan berlaku masalah di mana kedai yang tidak layak mengenakan GST, akan sengaja mengenakan GST kepada pelanggannya untuk pendapatan lebih. Lebihan wang hasil daripada peratusan tambahan GST itu pula tidak dilaporkan kepada kerajaan kerana penguatkuasaan dan pemantauan yang lemah.

Akhirnya, rakyat membayar GST ini bukan untuk pendapatan kerajaan tetapi untuk mengkayakan lagi mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Akibat rasuah yang berleluasa, PAS juga terbayang banyak syarikat yang terlepas daripada hukuman atau denda kerana menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barang yang dikenakan kepada rakyat awam.

Sesungguhnya, dengan masalah penguatkuasaan yang lemah dan juga rasuah yang masih berleluasa, iklim Malaysia masih tidak sesuai untuk pelaksanaan GST, lebih-lebih lagi apabila BN masih berkuasa.

Lihatlah bagaimana kerajaan BN cuba untuk mengurangkan defisit negara. BN tidak mengurangkan perbelanjaan pengurusan, malah perbelanjaan pengurusan meningkat RM15.8 bilion, daripada RM201.9 bilion pada 2013 kepada RM217.7 bilion pada 2014 berbanding peningkatan pendapatan sebanyak RM15.5 bilion daripada RM208.6 bilion pada 2013 kepada RM224.1 bilion pada 2014.

Pengurangan defisit bajet sebenarnya dicapai dengan memotong peruntukan pembangunan sebanyak RM3.2 bilion daripada RM49.7 bilion pada 2013 kepada RM46.5 bilion pada 2014.

Keadaan ini dijangka berterusan sehingga 2015 di mana GST bakal dilaksanakan. Ini bermakna kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan GST untuk meningkatkan pendapatan.

Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST. Pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat.

Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja.

Kaitkan Azizan dan harga gula, kempen tidak berakhlak

Salmiyah Harun, 26 Okt 2013



KUALA LUMPUR:
Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan kempen yang tidak berakhlak dan tidak beradab.

Muhyiddin hari ini cuba mempertahankan pemotongan subsidi gula sebanyak 34 sen dengan mengaitkan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang terpaksa memotong kakinya akibat kencing manis.

Jelas Mahfuz, kenyataan Muhyiddin itu tidak berakhlak khususnya kepada ahli keluarga Allahyarham iaitu isteri dan anak-anaknya.

"Kenapa hendak kaitkan keputusan pemotongan subsidi gula dengan Allahyarham yang potong kaki.

"Jangan guna orang yang dah mati untuk menghalalkan mereka menaikkan harga gula," tegas Mahfuz kepada Harakahdaily.

Katanya, Muhyiddin langsung tidak ada rasa hormatkan isteri dan ahli keluarga Allahyarham.

Justeru, Mahfuz menggesa Muhyiddin memohon maaf kepada isteri dan anak-anak Allahyarham serta seluruh pengundi Sungai Limau yang rata-rata begitu rapat dengan Allahyarham.

Hari ini, Muhyiddin dalam majlis pertemuannya bersama guru dan ibu bapa pelajar sekolah sekitar Yan dan Kuala Muda pagi tadi mempertahankan pengurangan subsidi gula sebanyak 34 sen yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014 semalam dan berkuatkuasa hari ini.

Menurutnya sebagaimana yang dilaporkan Malaysiakini, ia dilakukan untuk manfaat orang ramai dan hadirin yang hadir perlu mengambil iktibar daripada penyakit kencing manis yang dideritai allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

"Ramai meninggal dunia sudah ditakdirkan Allah, tapi di dunia ini disebabkan banyak makan, di samping itu banyak ambil gula sampai tak usahlah saya cerita tentang almarhum (Azizan).

"Sebab itu juga dia terpaksa melalui proses kakinya terpaksa dipotong.

"Jadi kerajaan umum tak ada subsidi umum tak ada gula keputusan tepat hendak menjaga maslahah am - hendak menjaga kesihatan," katanya.

Azam sasar jumpa semua pengundi Sg Limau

Hazayani Zakaria, 26 Okt 2013

JERAI: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau Mohd Azam Abd Samat berazam untuk bertemu dengan semua pengundi di Dun tersebut sebelum hari mengundi pada 4 November ini.
Beliau optimis, dengan bantuan jentera PAS dan Pakatan Rakyat, kempen menyeluruh terhadap semua pengundi dapat dilaksanakan mengikut jadual.

"Pendekatan kita, kita akan berjumpa dengan seluruh pengundi di Dun Sungai Limau.

"Kita harap kempen yang kita laksanakan ini akan dapat diteruskan dan kita doa moga Allah beri kesempatan untuk tempoh yang ada ini dengan memberi cuaca yang baik, kesihatan yang baik kepada seluruh jentera dan juga kesihatan yang baik kepada wartawan yang membuat liputan," kata beliau pada sidang media di Markaz Induk PAS PRK Sungai Limau, di Batu 15, hari ini.

Azam juga berkata, beliau yakin pengundi Sungai Limau celik maklumat dan dapat melihat usaha-usaha baik yang dilaksanakan PAS sewaktu di bawah Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak.

"Kita tahu semua pengundi di sini merupakan mereka yang bijak membuat pilihan yang telah pun didedahkan dengan maklumat yang bukan sahaja merujuk kepada maklumat sehala tetapi pelbagai maklumat," katanya yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK).

Sementara itu, Ketua Penerangan DPPNK Tarmizi Sulaiman memaklumkan, DPPNK menubuhkan pasukan khas bagi memantau salah guna agensi kerajaan di pihak BN sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Menurut beliau yang mengetuai pasukan tersebut, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mengesan berlakunya salah guna agensi dan proses beli undi.

"Pemuda akan gerakkan jentera pemuda di seluruh UPU untuk memantau penyalahgunaan ini dan kita akan buat tindakan susulan termasuk buat laporan kepada SPRR dan juga SPRM jika ada pihak BN guna secara jelas agensi kerajaan yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Ketua DPPNK Nasir Zakaria, Timbalan Ketua Ahmad Izad Shauki, Pengarah Jabatan Pilihan Raya DPPM Sani Hamzan dan beberapa exco DPPNK yang lain.

Tiada usaha atasi ketirisan - MP PR

Anis Nazri, 26 Okt 2013


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat beranggapan tiada sebarang pendekatan baru yang diambil kerajaan dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, bajet tersebut juga disifatkan hanya sebagai bajet ulangan, tanpa sebarang usaha untuk mengatasi ketirisan,  pembaziran serta pengurusan kerajaan yang baik.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bajet 2014 itu hanya sekadar untuk memberi ruang kepada kenaikan harga barangan seperti gula, tetapi tidak menjanjikan satu keupayaan untuk mengurus kewangan negara.

"Kecuali, apa yang terpaksa mereka lakukan, dalam keadaan terdesak kerana kedudukan kewangan dan fiskal yang lemah ialah percukaian seperti GST yang akan membebankan rakyat, yang sekaligus menambahkan pelebaran jurang pendapatan antara golongan kaya dengan miskin," tegas beliau ketika mengulas berkaitan bajet 2014 yang dibentangkan semalam.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (Gambar Kiri) pula berkata bajet 2014 ini hanyalah merupakan bajet defisit yang diulang saban tahun, lebih-lebih lagi ketika diumumkan negara akan mencapai satu bajet yang seimbang hanya pada 2020.

"Jadi bermakna, sekarang ini kita akan mengamalkan bajet yang tidak seimbang selama 22 tahun secara berterusan sehingga usaha mencapai bajet seimbang itu hanya pada 2020. Mungkin amalan ini juga boleh dimasukkan dalam Guiness Book of Records," kata beliau secara sinis.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin (Gambar Kanan) berkata bajet tersebut hanya satu bajet yang sebenarnya menaikkan lagi perbelanjaan negara, khususnya dengan pelaksanaan GST.

Katanya, pelaksanaan GST yang dimulakan dengan enam peratus merupakan satu peratusan yang tinggi, walaupun dinyatakan Najib antara yang terendah berbanding negara-negara lain.

"Kadar enam peratus yang diperkenalkan itu satu kadar yang tinggi, sedangkan Singapura ketika memulakan GST dengan tiga peratus sahaja. Malah, dalam keadaan negara masih belum mencapai taraf negara berpendapatan tinggi, GST ini belum sesuai di Malaysia," tegas beliau.

Bajet mungkir janji, ramai menyesal mengundi BN

Shahbudin Husin, 26 Okt 2013
Intipati Bajet 2014 yang dibentangkan Najib di Parlimen dirasakan paling tidak menarik kali ini. Bajet yang pada mulanya diandaikan sebagai bajet menunaikan janji kepada rakyat dan membuktikan slogan BN menang, rakyat senang setelah rakyat, terutamanya penduduk kampung dan luar bandar terus memberi sokongan kepada BN dalam pilihanraya lalu, kini sudah bertukar menjadi bajet mungkir janji.

Jika diimbas janji-janji yang ditaburkan dalam manifesto pilihanraya BN dengan intipati bajet ini, ternyata banyak janji itu tidak ditunaikan dan janji hanya tinggal janji saja.

Janji untuk memberi kesenangan kepada rakyat jelas tidak ditunaikan apabila rakyat kini bakal dibebankan dengan cukai GST sebanyak 6 peratus berkuatkuasa 2015. Subsidi gula sebanyak 34 sen setiap kilo akan dimansuhkan mulai hari ini yang menyebabkan harganya naik daripada RM2.50 sen kepada RM2.84 sen sekilogram.

Dengan kenaikan harga gula ini, pastinya akan menyebabkan harga makanan dan minuman turut naik. Restoran dan kedai makan serta peniaga kuih pasti akan menaikkan harga jualan mereka. Pemansuhan subsidi gula ini tidak dapat dielakkan akan menyebabkan beban rakyat meningkat lagi.

Lebih malang lagi, sejak Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009, beliau telah menaikkan sekurang-kurangnya lima kali kenaikan harga gula dan ini tentunya menyebabkan saudagar gula Malaysia yang juga rakan baik Najib iaitu Syed Mokhtar Albukhary bertambah lagi kembong poketnya.

Yang mendukacitakan juga, alasan Najib menaikkan harga gula ini ialah kononnya untuk mengelakkan lebih ramai rakyat mengidap kencing manis - suatu logik yang tidak jauh bezanya dengan Menteri Cap Ayam yang sebelum ini pernah mencadangkan rakyat agar jangan makan ayam berikutan harganya yang semakin mahal atau tanam sayur kerana harganya yang mahal di pasar. Tahukah Najib bahawa kencing manis bukan semata-mata disebabkan oleh pengambilan gula, banyak makanan lain termasuk nasi dan gaya hidup yang tidak aktif juga turut menyumbang kepada penyakit kencing manis.

Pelaksanaan cukai GST nyata paling merunsingkan rakyat. Kaedah cukai ini telah diluluskan sejak 2009 lagi tetapi Najib seolah-olah sengaja melaksanakannya selepas mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihanraya. Jika benar GST itu lebih baik daripada sistem cukai sedia ada, kenapa tidak dilaksanakan sebelum pilihanraya atau sebaik ia diluluskan pada 2009 dulu?

Dalam hal ini, benarlah kata Anwar bahawa bajet kali ini lebih mahu menghukum rakyat, berbanding mensejahterakan mereka. Walaupun ada beberapa pengurangan cukai, kebanyakannya hanya yang melibatkan golongan kaya manakala rakyat biasa bakal berhadapan dengan pelbagai jenis cukai dan kenaikan harga barang.

Janji yang paling ketara dimungkiri oleh Najib ialah mahu menaikkan nilai BR1M daripada RM500 kepada RM1,200 yang dibuat dalam pilihanraya lalu. Dengan wajah selamba dan seolah-olah tidak merasa berdosa kerana memungkiri janji kepada rakyat, Najib hanya mengumumkan kenaikan BR1M sebanyak RM150 sahaja kepada RM650.

Dengan kenaikan sebanyak RM150 setahun tetapi dalam masa yang sama GST dikuatkuasakan, harga gula dinaikkan yang akan menyebabkan harga makanan dan minuman turut meningkat dan jika dicampur dengan kesan kenaikan minyak sebanyak 20 sen sebelum ini, tiada lebihan apa-apa yang dinikmati oleh rakyat yang menerima BR1M itu. Bahkan duit mereka sudah pun disedut terlebih dahulu sebelum kenaikan RM150 itu diberikan.

Banyak lagi sebenarnya janji yang ditaburkan semasa kempen pilihanraya lalu yang tidak ditunaikan atau disebut dalam bajet Najib ini. Janji menaikkan baucer buku tidak ditunaikan, kenaikan BR1M untuk orang bujang tidak sebagaimana yang dijanjikan, penurunan harga kereta tidak disebut, begitu juga dengan perumahan dan aspek penjagaan kesihatan.

Pendeknya, bajet kali ini langsung tidak menggambarkan bajet menunaikan janji dan menghargai sokongan rakyat dalam pilihanraya lalu. Bukan saja rakyat yang tidak dihargai, kakitangan kerajaan juga seperti dipandang sebelah mata kerana bonus yang diberi hanya setengah bulan saja sedangkan tuntutan Cuepacs mahukan dua bulan. Dalam keadaan harga barang makin meningkat sekarang ini, apalah yang boleh dibuat dengan bonus setengah bulan atau minima RM500 itu.

Kegagalan Najib menunaikan banyak janji-janjinya dalam bajet ini menyebabkan ramai yang kecewa dan rasa menyesal kerana memberi undi kepada BN dalam pilihanraya lalu. Bukan saja kerana banyak janji yang tidak ditepati tetapi juga sumbangan mereka seolah-olah tidak dihargai.

Ramai yang berkata, jika PR yang menang dalam pilihanraya lalu, bukan saja tiada GST tetapi juga dapat menikmati penurunan harga minyak dalam tempoh 24 jam dan juga harga kereta yang lebih murah lagi.

Bajet kali ini bukan saja menyebabkan kehidupan rakyat bawahan bertambah parah menjelang bajet seterusnya pada tahun hadapan atau sshingga pilihanraya akan datang, tetapi juga akan terus berpanjangan seusia kehidupan sekiranya perubahan kerajaan tidak dijadikan kenyataan. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Tiada ulasan: