Sabtu, 19 Oktober 2013

JANGAN BUAT YANG HARUS TINGGALKAN YANG WAJIB....BUAT YANG HARAM TINGGAL YANG WAJIB NI LAGI TERUK

Tengok bola jangan sampai abai solat

Majid Mustafa,
Bagi peminat sukan bola sepak tempatan, malam ini bakal menjadi hangat kerana berlangsungnya pusingan pertama separuh akhir Piala Malaysia antara Kelantan The Red Warrior dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Seperti biasa, pertembungan kedua-dua pasukan pasti hangat bukan sahaja di dalam padang malah di luar padang juga. Apatah lagi rekod pertemuan kedua-duanya tidak jauh berbeza. Maka agak sukar untuk diramalkan pasukan mana yang akan berjaya ke pusingan seterus – walaupun Kelantan dilihat menjadi pilihan ramai.

Namun, suka saya mengingatkan kepada peminat kedua-dua pasukan ini, khususnya yang beragama Islam dan berada di stadium agar tidak meninggalkan solat. Jangan cipta pelbagai alasan untuk sengaja mengabaikan solat!

Solat merupakan sumber kekuatan umat Islam jika mereka melakukannya walau dalam keadaan apa jua pun. Solatlah yang membezakan antara mereka dengan umat lain. Yang lebih baik, lakukanlah solat jemaah di tengah padang sebelum perlawanan bermula. Alangkah indahnya apabila terserlah ukhuwah dalam kalangan peminat yang bersatu ketika solat walaupun menyokong pasukan berbeza.

Jika ada kalangan peminat yang begitu bersungguh-sungguh dilihat menonjolkan diri dalam isu kalimah Allah tetapi pada masa yang sama meninggalkan solat kerana berada di stadium, anda sebenarnya seorang yang hipokrit.

Cadangan peminat untuk Harimau Malaya

Syed Abdullah Syed Osman,
Harapan pasukan Harimau Malaya untuk melayakkan diri dalam Piala Asia 2015 di Australia masih ada walaupun hanya mampu mengumpul satu mata dalam pusingan awal. Itu semua bergantung kepada prestasi pemain Harimau Malaya apabila bertarung dua lagi perlawanan ditempat lawan dan sekali lagi ditempat sendiri.

Untuk menentang pasukan saperti Bahrain dan Qatar di negara teluk nanti bukanlah suatu perkara yang boleh diambil mudah kerana selain mesti mempunyai skil yang tinggi dan semangat yang jitu para pemain Harimau Malaya mesti ada ketahanan mental dan fizikal.

Berdasarkan rekod lalu apabila pasukan kita berlawan dengan pasukan negara-negara Asia Barat yang cuacanya panas dan kering walaupun pada waktu malam pasukan negara kita selalunya kecundang. Yang paling jelas apabila masuk separuh masa kedua nampak sangat pemain kita kepenatan mungkin akibat keadaan cuaca di sana.

Oleh itu, saya mencadangkan untuk baki perlawanan di negara mereka nanti, pasukan Harimau Malaya membuat latihan intensif di sana mulai sekarang dan bukannya hanya beberapa hari sebelum perlawanan. Hal ini penting bagi menyesuaikan diri dengan cuaca dan keadaan di sana yang jauh sangat berbezanya dengan keadaan di negara kita.

Kalau pasukan Harimau Malaya mampu menyesuaikan diri berkemungkinan besar salah satu tempat untuk beraksi di Piala Asia 2015 itu tidak mustahil berlaku.

Untuk itu perlu ada pengorbanan pada peringkat kelab, persatuan bolasepak dan para pemain yang terlibat dalam kancah bolasepak tempatan. FAM dengan kerjasama Kerajaan bolehlah memikirkan kaedah terbaik seperti memberikan gaji dan elaun yang tetap serta kemudahan-kemudahan yang lain yang lebih baik lagi dan mungkin sekali ganda lagi apa yang mereka peroleh ketika ini. Kalau mahu melihat sesuatu kejayaan mesti ada pengorbanan.

Jadikan keputusan 10-4 di Sungai Limau

Zulkifli Yahya, 18 Okt 2013
YAN: Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, Dato' Ir Amiruddin Hamzah (gambar) menggesa pengundi dalam kawasan ini menjadikan skor terbaru untuk keputusan pilihanraya Dun Sungai Limau sebagai 10-4.

Berucap di Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Rakyat untuk PRK Sungai Limau, Amiruddin memberitahu, sejak pilihan raya umum diadakan pada 1955 sehingga 2013, Sungai Limau yang dahulunya dikenali sebagai Sala telah mencatatkan 9 kemenangan untuk PAS dan hanya empat kemenangan untuk BN.

"Saya menyeru pengundi Sungai Limau memberi satu lagi kemenangan untuk PAS dalam PRK ini bagi menjadikan kedudukan 10-4," ujarnya.

Beliau berkata, walaupun perkara tersebut menjadi tekad PAS untuk PRK kali ini namun ia bukanlah perkara yang boleh dianggap mudah untuk dicapai kerana BN pasti akan turun dengan jentera kerajaan yang luarbiasa.

Para petugas Pakatan diseru bertemu dan menyantuni kesemua pengundi yang terdapat di Sungai Limau.

Menurut Amiruddin, walaupun kerajaan BN sudah lebih lima bulan menerajui pentadbiran negeri namun tiada apa lagi perubahan yang dapat dilihat oleh rakyat.

Secara sinis beliau berkata, kerajaan pimpinan Mukhriz terlalu banyak saintis yang membawa semua cadangan pembangunan dalam makmal kajian tetapi tidak nampak pula hasil kajiannya.

Rakyat Kedah kini, katanya  sudah dapat membuat perbandingan antara kejayaan yang dicatatkan oleh kerajaan Pakatan dahulu berbanding BN kini.

"Kalau dahulu bila berlaku kematian kerajaan beri bantuam Kafalah sebanyak RM500,  masa BN sekarang kalau mati cuma ada 'Kafanlah' tanpa sebarang bantuan," ujarnya.

Begitu juga bantuan untuk pelajar yang berjaya memasuki IPTA.

"Masa kita dulu ada, sekarang sudah tiada," katanya.

Apa yang lebih mengecewakan adalah kegagalan BN menguruskan kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang terdapat di Kuala Ketil.

Menurut Amiruddin, walaupun Pakatan meninggalkan kepada mereka sebuah kampus induk yang mempunyai pelbagai kemudahan tetapi BN ibarat 'kera mendapat bunga' kerana tidak tahu menggunakannya.

"Malah terdapat pelajar yang diarah kembali ke kampus lama yang serba sempit, sehingga terdapat pelajar terpaksa mengikuti kuliah dengan 'menyerenggoh' di luar tingkap," ujar Amiruddin.

Pelancaran Jentera Pakatan Rakyat untuk PRK Sungai Limau itu dihadiri oleh sebahagian besar pemimpin utama PAS, KeADILan dan DAP negeri Kedah.

Perasmian pelancaran dilakukan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Politik wang: Umno boleh rujuk kepada SPRM

Harakahdaily, 18 Okt 2013
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan menyerahkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk menyemak dan menapis aduan-aduan melibatkan politik wang terlebih dahulu.

“Justeru, sekiranya ada bukti wujudnya unsur rasuah, jawatankuasa disiplin boleh merujuk kepada SPRM untuk diambil tindakan,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan beliau sebagaimana di bawah.

Merujuk kepada laporan media kebelakangan ini dan kenyataan Transparency International Malaysia (TI-M) yang dikeluarkan hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menegaskan bahawa SPRM sama sekali tidak pernah membuat kenyataan mengatakan tidak menyiasat aduan-aduan berkaitan dengan politik wang, yang menjadi perhatian di sebalik suasana pemilihan Umno yang sedang berlangsung sekarang.

Pendirian SPRM ialah segala tohmahan berkaitan isu pemilihan wajar disalurkan kepada Lembaga Disiplin Umno terlebih dahulu.

Sekiranya Lembaga Disiplin mendapati tohmahan ini mempunyai bukti-bukti berlakunya perlakuan rasuah, maka perkara ini boleh dirujuk kepada SPRM untuk tindakan mengikut undang-undang.

SPRM ingin menegaskan bahawa perkara ini tidak tertakluk kepada pemilihan Umno semata-mata tetapi juga turut merangkumi pemilihan parti-parti politik lain di Malaysia.

SPRM sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa SPRM menyerahkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk menyemak dan menapis aduan-aduan melibatkan politik wang terlebih dahulu.

Justeru, sekiranya ada bukti wujudnya unsur rasuah, jawatankuasa disiplin boleh merujuk kepada SPRM untuk diambil tindakan yang sewajarnya mengikut skop Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

Berdasarkan pengalaman lalu maklumat yang dirujuk kepada SPRM adalah lebih kepada perlanggaran Kod Etika parti.

Oleh itu amatlah wajar perkara ini diteliti oleh jawatankuasa disiplin parti masing-masing.

SPRM hanya akan bertindak sekiranya maklumat ini mengandungi elemen rasuah seperti diperuntukkan di bawah Akta ASPRM 2009.

Di sini SPRM juga ingin menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat aduan-aduan berunsur rasuah daripada mana-mana parti politik mengikut peruntukan yang termaktub dalam Akta SPRM 2009.

Atucara program Konvensyen Tanah, Ahad ini

Harakahdaily, 18 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat akan menganjurkan Konvensyen Tanah dan Perbandaran Kebangsaan di Shah Alam Ahad ini.

Program tersebut adalah bagi memberikan penerangan serta kefahaman kepada rakyat berkaitan dengan masalah-masalah tanah dan perbandaran.

Ianya juga akan memberikan lebih kefahaman kepada rakyat terhadap hak-hak mereka sendiri daripada dianiaya atau dizalimi oleh pihak-pihak tertentu.

Konvensyen yang akan diadakan di Dewan Jubli Perak SUK akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Manakala acara penutup akan disempurnakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ianya kan bermula dari jam 8.30 pagi sehingga jam 2.00 petang.

Beberapa ahli panel yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang tanah termasuklah Bekas Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Prof Datuk Dr Nik Zain, dan pengulas berwibawa serta pembentangan khas wakil Kerajaan Negeri Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang akan dijemput membentangkan kertas kerja masing-masing.

Konvensyen ini juga adalah bertujuan untuk menghasilkan satu resolusi bagi menambahbaikan polisi-polisi kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) dalam perkara-perkara yang berkaitan selaras dengan iltizam PR yang sentiasa meletakkan hak rakyat dihadapan.

Berikut adalah tentatif program untuk rujukan:

8.00 am - Pendaftaran peserta

9.00 am - Perasmian

Bacaan ayat suci Al Quran
Ucapan alu-aluan oleh Hj.Razman Zakaria selaku pengarah program
Ucapan ringkas oleh Sdr.Mazlan Aliman selaku Pengerusi LPTWPP
Ucapan perasmian oleh YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor)
Gimik perasmian
Rehat @ sarapan

10.00 am - Pembentang kertas kerja utama oleh Datuk Profesor Dr.Nik Zain Nik Yusof

11.00 am - Pembentang bagi mewakili Kerajaan Negeri Selangor (YB Khairuddin Othman)

11.45 am - Pembentang bagi mewakili Kerajaan Negeri Kelantan (YB Hanifa Ahmad)

12.30 pm - Pembentang bagi mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang (YB Mohd.Rashid Hasnon)

Sesi soal jawab

1.15 pm - Resolusi konvensyen

1.30 pm - Ucapan Perasmian Penutup oleh YB Datuk Seri Tuan Guru Presiden Hj.Abdul Hadi Awang

2.00 pm - Makan tengahari / bersurai

Sidang media
Bersama MB Selangor  - 10.30 pagi
Bersama TG Presiden PAS  -  3.45 pm

PBSMR: Tidak pentingkah pendidikan Islam?

Anis Nazri, 18 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan tidak memasukkan mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai teras dalam menilai peperiksaan berasaskan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) dianggap diskriminasi moral dan intelektual Islam.

Lajnah Pendidikan PAS Pusat beranggapan tindakan itu sebagai halangan untuk membentuk keperibadian dan membina kemahiran dalam diri seseorang, walhal mata pelajaran tersebut memberi input kepimpinan dan keperibadian para pelajar.

Pengerusinya, Datuk Abu Bakar Chik, berkata mata pelajaran Pendidikan Islam itu membantu seseorang pelajar agar dapat memimpin dan mengurus alam dan kehidupan yang menepati fitrah kejadian insan itu sendiri adalah menjadi tugas perancang pendidikan itu sendiri.

"Sayangnya, kerajaan tidak mengambil kira keadaan tersebut, yang mana sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang memenuhi keperluan rakyat negara ini yang majoritinya beragama Islam," kata beliau dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa kurikulum Pendidikan Islam penting dalam melahirkan rakyat yang berpengetahuan ilmu agama dan dapat membendung gejala-gejala tidak bermoral.

Temui Pak Samad di garage sale Bersih 2.0 esok

Anis Nazri, 18 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 akan menganjurkan jualan garaj penghabisan stok, di samping mengumpul dana bagi bagungan pilihan raya bersih dan adil itu, bermula jam 10 pagi hingga 4 petang, esok.

Menurut Jawatankuasa Koordinator Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, jualan garaj itu akan menjual pelbagai barangan Bersih 2.0 seperti baju t dan buku-buku berkaitan Bersih 2.0 dan akan diadakan di pejabat Empower, di Petaling Jaya.

Menurutnya, selain jualan garaj, satu sesi ramah mesra bersama Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said dan Datuk S. Ambiga turut diadakan bagi para pengunjung yang hadir.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang berkelapangan untuk hadir bersama-sama memeriahkan suasana jualan garaj tersebut, selain mengambil kesempatan untuk bertemu dan beramah-mesra dengan kedua-dua tokoh Bersih 2.0 itu.

Butiran lanjut mengenai program tersebut dalah seperti berikut:

19 Oktober 2013 (Sabtu)
Sekretriat BERSIH 2.0
c/o EMPOWER
13 Lorong 4/48E, Section 4,
46050 Petaling Jaya (bersebelahan Hospital Assunta)

Teori mudah pertahan kerusi PAS di Sungai Limau

Zulkifli Yahya, 18 Okt 2013
SAYA pernah mendedahkan sebuah kajian yang dibuat oleh sebuah badan profesional beberapa minggu sebelum parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Perihal di seluruh negara, secara umumnya sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat merosot sebanyak empat peratus berbanding enam bulan sebelumnya.

Apa yang mengejutkan dalam kajian tersebut adalah kemerosotan sokongan Melayu terhadap Pakatan berlaku paling teruk di Kedah, iaitu sebanyak 9 peratus! Jika pada September 2012 sokongan Melayu untuk Pakatan ialah 53 peratus, namun Mac 2013 sokongan merosot tinggal 44 peratus sahaja. Mengikut kajian tersebut, kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang mampu dimenangi oleh Pakatan Rakyat di Kedah cuma 14.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar melahirkan kebimbangan Pakatan akan kalah di Kedah jika perkara tersebut tidak berjaya diatasi.

Berikutnya, Penerangan PAS Kedah mengambil tanggung jawab menghimpunkan semua tenaga penerangan bagi memberi taklimat khusus menangani isu kemerosotan sokongan Melayu.

Datuk Mahfuz Omar ketika membentangkan hasil kajian itu menjelaskan, antara faktor utama kemerosotan sokongan Melayu adalah pemberian BR1M 2.0. Namun di Kedah, katanya, terdapat faktor-faktor khusus yang menambah penolakan terhadap Pakatan. Isu terbesarnya ialah 'penebangan balak secara rakus'. Kali pertama dalam sejarah negara, isu alam sekitar mendapat perhatian dari masyarakat Melayu.

Isu lain adalah kepimpinan PAS yang dilihat berpecah dan kemelut Kolej Universiti Insaniah (Kuin). Maknanya, isu khusus dalam pentadbiran Kedah yang menyumbang penolakan orang Melayu terhadap kerajaan negeri. Soal sama ada kerajaan benar-benar gagal adalah persoalan lain, namun BN yang menguasai segenap media berjaya membina persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan negeri.

Dipendekkan cerita Pakatan hilang negeri Kedah dalam PRU13 angkara kehilangan undi Melayu dalam jumlah yang besar.

Dalam ranking kekuatan kerusi PAS di Kedah, Sungai Limau berada di tempat kedua selepas Tokai (di zaman Almarhum Ustaz Fadzil Noor dikenali sebagai Bukit Raya). Sewaktu PAS Kedah tinggal 'batu nisan' pada PRU tahun 1995, dua kerusi yang tinggal itu ialah Sala (sekarang Sungai Limau) dan Bukit Raya. Ertinya kedua-dua kerusi tersebut benar-benar kerusi yang dimenangi dengan undi teras ahli dan penyokong PAS.

Berdasarkan PAS Kedah kehilangan sokongan Melayu sehingga 9 peratus pada PRU13, saya mengandaikan bahawa di Sungai Limau sokongan untuk Tan Sri Ustaz Azizan datangnya dari pengundi teras PAS dan majoriti pengundi Cina dari seramai 1800 orang. Hampir tiada undi untuk PAS dari pengundi atas pagar. Tiada juga undi dari ahli Umno yang memprotes, kerana undi golongan itu tersalur kepada calon Umno yang bertanding tiket bebas. Itu pun tidak banyak, cuma 100 undi.

Jika sebelum ini, Ustaz Azizan dapat menarik ahli keluarganya yang ramai di sekitar Sungai Limau, kebanyakannya terdiri dari penyokong Umno. Pada PRU13, beliau ditentang oleh sepupunya sendiri iaitu Fadhilah Mohd Ali. Bermakna undi atas faktor keluarga tidak lagi solid untuk Ustaz Azizan, sekurang-kurangnya ia sudah berpecah dua.

Satu lagi faktor yang sangat menarik di Sungai Limau adalah kewujudan 'golongan kecewa' dalam PAS. Kumpulan ini tidaklah dominan namun tindakan protes mereka berterusan dan sedikit sebanyak memberi kesan negatif terhadap jentera parti. Mereka menyayangi PAS cuma berkonfrontasi dengan Ustaz Azizan ketika itu. Kini orang yang mereka musuhi sudah tiada. Mereka boleh ditarik untuk kembali menguatkan PAS.

Secara teorinya untuk mengekalkan kerusi Sungai Limau, kerja PAS cuma mengekalkan sokongan ahli-ahli dan penyokong PAS! Itu saja. Kejayaan menarik golongan atas pagar dan Umno cuma bonus. Teorinya mudah, tapi realitinya tak semudah itu.

Bagi BN, kerja mereka lebih sukar kerana di samping pertahankan sokongan pengundi tegar dan atas pagar. Mereka juga perlu menarik sokongan pengundi PAS, baru boleh menang.

Di Sungai Limau secara umumnya kekuatan PAS dan Umno adalah seimbang. Biasanya, di mana ada cawangan PAS di situ ada cawangan Umno. Kewujudan sokongan PAS dan Umno berlaku secara tradisi. Persaingan utama politik pun cuma berlaku antara PAS dan Umno sejak berzaman.

Pengalaman melalui beberapa pilihan raya  kecil, kekuatan antara Pakatan dan BN selalunya tidak seimbang. Banyak tempat di mana Pakatan tiada cawangan, berbanding BN.  Jika BN berjaya mengepung ahli-ahlinya sahaja cukup untuk menang. Dan itulah yang mereka lakukan.

Untuk PRK Sungai Limau, kerja 'mengepung ahli' sendiri untuk pertahankan kemenangan terbeban kepada PAS. Bagaimana cara untuk melakukannya ke tahap maksimum, terserah kepada kebijaksanaan jentera PAS.  Itulah rahsia besar kejayaan PAS pertahankan Sungai Limau - secara teorinya.

Tiada ulasan: