Jumaat, 25 Oktober 2013

ISLAM ITU SEJAHTERA....SELAMAT SERTA INDAH DENGAN SYARAT MENGAMAL SECARA MENYELURUH BUKAN BERPILIH2

Tragedi Cameron Highlands: TG Nik Aziz ucap takziah

Harakahdaily , 24 Okt 2013

Kuala Lumpur: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS mengucapkan takziah kepada tragedi banjir lumpur di Cameron Highlands, melalui laman facebooknya. Beliau juga menggesa suatu siasatan dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Takziah saya rakamkan kepada keluarga mangsa banjir lumpur yang berlaku di Cameron Highlands. Saya menggesa satu siasatan dibuat untuk menyiasat punca sebenar kejadian. Sewajarnya satu langkah tegas diambil daripada awal bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.” Ujar beliau.

Sehingga kini mangsa yang maut akibat banjir tersebut dikenal pasti ialah Md Jahangir, warga Bangladesh dan Kesmat, warga Indonesia. Seorang lagi meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital akibat sakit jantung. Sementara itu seorang lagi dilaporkan hilang dan usaha mencari dan menyelamat diteruskan.

“Harapan saya agar keluarga mangsa dapat bersabar dan semua pihak dapat menghulurkan bantuan tanda simpati dan solidariti bersama-sama keluarga mangsa yang terlibat.”

Tragedi ini turut memusnahkan kira-kira 80 rumah dan 100 kenderaan.

Pendekatan damai Ustaz Azizan diteruskan

Zulkifli Yahya, 24 Okt 2013
JERAI: Calon PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat bertekad meneruskan agenda dan perjuangan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Razak jika diberi mandat oleh para pengundi.

"Di antara agenda Almarhum Ustaz Azizan semasa hayatnya adalah melaksanakan pendekatan damai di kalangan masyarakat pelbagai fahaman politik.

“Realiti yang tidak dapat dielakkan di kalangan masyarakat adalah terdapat pelbagai kelompok yang berpegang kepada pendirian atau keyakinan masing-masing.

“Perbezaan tidak boleh dijadikan alasan untuk masyarakat kita berpecah, pendekatan itulah yang dilakukan oleh Ustaz Azizan sehingga tiada di kalangan rakyat yang tersisih dari mendapat perhatian sewaktu beliau menjadi wakil rakyat,” terang Ustaz Azam.

Sebagai tenaga pendidik, Ustaz Azam bercita-cita menyemarakkan lagi penghayatan Islam melalui pendidikan dan dakwah di kalangan masyarakat. Katanya, tugas sebagai wakil rakyat bukan penghalang untuk melaksanakan tuntutan tersebut, bahkan peranan tersebut mungkin dapat dibuat dengan lebih berkesan.

Bercakap kepada Harakahdaily, Ustaz Azam meletakkan beberapa visi penting sebagai calon mahupun seandainya menang nanti.

Antaranya, memperjuangkan kebajikan dan hak seluruh kelompok masyarakat khususnya pesawah dan nelayan.

“Petani adalah kelompok terbanyak di sini yang perlukan pembelaan, jika tiada suara dari pembangkang untuk memperjuangkan nasib pesawah nasib mereka biasanya mereka akan dipandang sepi,” tegasnya.

Beliau juga akan berusaha menyelesaikan masalah kekurangan kemudahan jalur lebar demi membantu generasi muda menambah informasi, ilmu pengetahuan dan melebarkan komunikasi.

Mengenai rungutan penduduk berhubung masalah kemudahan asas, beliau akan bekerjasama dengan agensi yang bertanggungjawab untuk menanganinya, khususnya masalah kerosakan jalanraya dan tekanan air rendah.

Mengenai keputusan PRK Sungai Limau, ramai pemerhati politik meramalkan bahawa calon PAS akan memenanginya. Di samping Sungai Limau adalah kubu kuat PAS sejak PRU pertama diadakan, faktor peribadi calon dijangka akan membantu.

Ustaz Azam lebih banyak bergelumang dengan masyarakat setempat sejak aktif dengan Pemuda PAS manakala calon BN, walaupun anak kelahiran Dun Sungai Limau tetapi tidak tinggal di Kedah.

PR yakin PAS mampu pertahan Sungai Limau

Muhammad Faizal, 24 Okt 2013
JERAI: Pemimpin Pakatan Rakyat yakin dengan rekod yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak dan kekuatan jentera PAS, parti itu mampu mengekalkan kemenangan di Dun Sungai Limau pada 4 November nanti.

Tinjauan Harakahdaily turut mendapati, keputusan PAS meletakkan Ketua Pemuda PAS Jerai, Ustaz Mohd Azam Abd Samat sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah satu keputusan yang tepat serta dapat meneruskan amanah yang ditinggalkan Ustaz Azizan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang ditemui menjelaskan imej yang ada pada Ustaz Azam menunjukkan beliau seorang yang peramah dan disenangi penduduk setempat.

"Melihat kepada imej yang ada kepada calon kita, Azam yang sentiasa murah dengan senyuman, berperibadian serta pengalaman dalam agama saya yakin rakyat menyenangi beliau.

"Pilihan yang tepat diberikan pada PRK kali ini dan saya pasti PAS mampu mengekalkan kemenangan yang diperolehi selama lima penggal," jelasnya.

Menurut beliau lagi, faktor perpaduan yang ditunjukkan jentera Pakatan Rakyat pada kempen kali ini turut menjadi faktor keyakinan rakyat untuk terus mengekalkan pemimpin yang akan membawa suara rakyat serta berlatar belakang seperti Allahyarham Ustaz Azizan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang turut serta pada penamaan calon itu yakin dengan rekod yang ditinggalkan Ustaz Azizan, PAS akan mengekalkan kemenangan.

PKR yang turut menyediakan jentera seramai tiga ribu orang telah ditugaskan berkempen di lima Unit Peti Undi (UPU) yang dikatakan sebagai kubu kuat Umno

"Kita diberi tanggungjawab untuk membantu di lima UPU yang dikatakan sebagai kubu kuat Umno dan itu satu cabaran kepada PKR.

"Dalam pada itu saya cukup yakin dengan kemampuan PAS di kelima-lima UPU ini dan kami sekadar menbantu mengerakkan jentera, kita dapat lakukan kerja dengan mudah seterusnya mengekalkan kemenangan," jelas beliau.

Ahli Parlimen Gombak itu juga turut yakin selain dari kerjasama antara jentera Pakatan Rakyat dibantu pula dengan faktor calon, PAS akan memperolehi majoriti yang lebih baik.

Dalam pada itu Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Sim Chee Keong memberitahu DAP sudah bersiap sedia untuk memberi sokongan padu kepada PAS untuk kempen PRK Sungai Limau.

Katanya, DAP akan memberi tumpuan khusus kepada kawasan yang mempunyai pengundi bukan Melayu.

"Kita telah bersedia untuk memberi bantuan sepenuhnya kepada PAS.

"Gerak kerja kita meliputi semua kawasan, namun tumpuan yang khusus kita akan berikan kepada kawasan yang mempunyai pengundi bukan Melayu," katanya.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu yakin walaupun mempunyai pengundi Melayu mempunyai majoriti yang besar, namu kematangan politik negara ini masyarakat Sungai Limau mampu menerima kehadiran DAP dan seterusnya menghapus politik perkauman yang dimainkan oleh Umno selama ini.

Ketika ditanya tentang calon, beliau berkata pilihan yang dibuat oleh PAS amat tepat kerana bukan sahaja merupakan anak tempatan tetapi mampu meneruskan apa yang telah dilakukan oleh Ustaz Azizan sebelum ini.

PAS sedia angkut pengundi jika banjir – Mahfuz

Muhammad Faizal, 24 Okt 2013
JERAI: PAS akan menyediakan kelengkapan bagi membawa pengundi jika banjir berlaku sewaktu hari pengundian PRK Dun Sungai Limau pada 4 November nanti.

Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sunga Limau, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara tersebut akan dibincang bagi memastikan tindakan segera dapat diambil apabila berlaku banjir.

"Kita akan membincangkan tindakan yang perlu diambil jika berlakunya bencana alam seperti banjir, ini amat penting apabila kita melihat keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Apa yang pasti kita akan menyedia bot kecil bagi tujuan mengangkut pengundi-pengundi yang tidak dapat keluar akibat banjir.

"Kita telah lihat apa yang berlaku pada PRK Tenang, Johor sebelum ini dan langkah segera perlu kita rencanakan bagi memastikan ia berjalan lancar tanpa sebarang masalah," kata beliau ketika ditemui di Markas Induk PRK Sungai Limau.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu juga berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menyediakan kemudahan seperti bot kecil, pelampung serta beberapa kemudahan lain bagi melancarkan proses pengundian jika berlaku banjir.

Beliau meminta agar kemudahan yang disediakan SPR itu perlu adil untuk kedua-dua parti yang bertanding dan bukannya memihak kepada Barisan Nasional (BN) sahaja.
Kelmarin, Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pihaknya sudah bersiap sedia sekiranya berlaku banjir sepanjang kempen dan hari mengundi berikutan hujan berterusan melanda beberapa kawasan di negeri ini.

Perundangan Syariah adil untuk semua

Jofri Jaraiee PAS Sarawak, 24 Okt 2013
Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara berdaulat yang terletak di pantai utara pulau Borneo, di Asia Tenggara.

Majoriti penduduknya beragama Islam dan sistem politik di negara ini ditadbir oleh perlembagaan dan tradisi kebangsaan Melayu Islam Beraja, konsep Melayu Islam Beraja (MIB).

Ketiga-tiga komponen MIB perlindungan budaya Melayu, agama Islam, dan rangka kerja politik di bawah pemerintahan beraja. Dua sistem perundangan diamalkan iaitu 'common law' dan juga perundangan Syariah.

Baru-baru ini, Sultan Brunei Darussalam, Hassanal Bolkiah, mengumumkan undang-undang Syariah akan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada undang-undang jenayah Islam yang ketat, menjadikan Brunei negara pertama di Asia Tenggara untuk menguatkuasakan undang-undang Syariah di peringkat kebangsaan, Associated Press melaporkan.

Hassanal Bolkiah bertitah undang-undang itu perlu dianggap sebagai satu bentuk "bimbingan khas" dari Allah, dan bahawa ia akan menjadi "sebahagian daripada sejarah besar" Brunei, sebuah negara kecil di Pulau Borneo.

Undang-undang ini akan dikuatkuasakan dalam tempoh enam bulan dan ianya merangkumi hukuman seperti pemotongan untuk kecurian dan rejam bagi zina, Bolkiah berkata. Kanun Keseksaan Syariah hanya akan digunakan untuk umat Muslim.

Yang Berhomat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Brunei Darussalam, ulama Islam terkemuka di negara itu memberitahu persidangan Selasa bahawa undang-undang Syariah "menjamin keadilan untuk semua orang dan perlindungan kesejahteraan mereka".

Ini membuktikan bahawa perundangan Syariah boleh dilaksanakan sekiranya pemerintah negara itu sendiri yakin akan keadilan perundangan Syariah.

Bagi yang bukan Muslim, isu ini bukan untuk menakutkan mereka kerana ianya tidak melibatkan mereka sebab mereka masih tertakluk di bawah undang-undang am (common law). Yang menyebabkan orang ramai takut sebab mereka tidak mendapat penerangan dan penjelasan yang sebenarnya dari pihak yang pakar dalam perundangan Syariah.

Apabila orang ramai yang kurang pengetahuan berbicara tentang perundangan Syariah maka timbullah bermacam-macam perkara yang tidak benar tentang keadilan perundangan Syariah.

Sekiranya Brunei berjaya melaksanakan perundangan syariah ini dengan baik dan adil, kita yakin ini akan menjadi suatu contoh terbaik untuk negara kita melaksanakannya secara berperingkat.

Sebagai contoh, negeri yang majoritinya menganut agama Islam seperti Kelantan dan Terengganu boleh melaksanakan perundangan Syariah untuk umat Muslim tanpa mengira fahaman politik.

Cara yang terbaik untuk memberi kefahaman tentang perundangan Syariah ialah dengan mengadakan dialog terbuka antara agama dan juga perlu disiarkan dalam media massa seperti mana dilakukan oleh kerajaan Brunei.

Setiap hari Mufti Kerajaan Brunei akan menerangkan tentang kebaikan dan keadilan perundangan Syariah dalam media massa seperti Radio/TV untuk rakyat mendengar penjelasan tentang perundangan syariah menurut Al-Quran dan Hadis.

Apabila rakyat mendapat penjelasan dan maklumat yang betul sudah pasti rakyat akan faham betapa indahnya perundangan syariah dilaksanakan.

Kalau di negara kita setiap perundangan yang akan dilaksanakan tanpa diberitahu atau diterangkan kepada rakyat terlebih dahulu boleh dilaksanakan dan mengapa pula perundangan Syariah yang diperintah oleh Allah Tuhan Pencipta Alam mesti diragui keadilannya?

Seperti yang ditegaskan sebelum ini, perundangan Syariah hanya dikenakan keatas umat Muslim dan yang bukan Muslim boleh buat pilihan untuk memilih perundangan seperti yang sedia ada.

Tentu ada orang persoalkan mengapa ada dua sistem perundangan dalam negara ini?

Selama ini pun kita telah melaksanakan dua sistem perundangan iaitu ‘common law’ dan perundangan Syariah dalam negara ini.

Walaupun perundangan Syariah di Malaysia masih dipertikaikan kerana tidak melaksanakan sepenuhnya hukuman mengikut Al-Quran dan Hadis.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menambah baik perundangan Syariah sedia ada mengikut sepenuhnya perintah seperti yang terkandung dalam Al Quran dan Hadis supaya ianya betul-betul menepati perundangan Syariah yang sebenarnya.

Semoga usaha kerajaan Brunei berjaya dalam melaksanakan perundangan Syariah dengan adil dan saksama sebagaimana yang di perintah oleh Allah.

Diharap negara kita juga perlu mencontohi negara Brunei dengan memberi  peluang perundangan Syariah dilaksanakan di negeri yang majoriti umat Muslim dulu dan kita juga menggesa agar perundangan Syariah kita ditambah baik sepenuhnya supaya ianya selari dengan tuntutan dan perintah Allah dalam Al-Quran dan Hadis.

Tiada ulasan: