Jumaat, 25 Oktober 2013

HUKUM SYARIAH@ALLAH WAJIB DILAKSANAKAN

‘Makmal Tranformasi’ cuma gimik politik Mukhriz

Zulkifli Yahya, 25 Okt 2013


JERAI: Kerajaan BN Kedah hanya melakukan gimik politik apabila seringkali menyebut bahawa semua projek pembangunan untuk rakyat akan dikaji dalam Makmal Tranformasi sebelum diputuskan baik untuk dilaksanakan.

“Nampaknya sepanjang tempoh kira-kira lima bulan, kerajaan asyik mengkaji dan mengkaji sedangkan tiada output bermanfaat yang boleh dari makmal tersebut setakat ini.

“Persoalan yang lebih asas daripada itu ialah benarkah wujud apa yang dikatakan ‘Makmal Tranformasi’ ini? Siapa panel penyelidiknya?” soal Ketua Pembangkang Dun Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah dalam sidang media yang diadakan di Markas Induk PAS, PRK Sungai Limau, dekat sini.

Dalam beberapa kes, ujarnya kerajaan BN negeri telah menangguhkan beberapa projek kononnya kerana mahu melakukan kajian tetapi nampaknya projek-projek tersebut seolah-olah dipetisejukkan atau mungkin dibatalkan terus.

Contohnya Ladang Agroteknologi di Charok Genting Bunga, Ladang Rakyat Gunong Inas, Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) dan sebagainya.

Secara khususnya pada sidang media tersebut, Amiruddin turut memfokuskan dua lagi projek yang gagal diteruskan kerajaan negeri pimpinan Datuk Paduka Mukhriz Mahathir.

Antaranya, kegagalan meneruskan pembinaan Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba Langkawi, walaupun kerajaan negeri sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk tahun 2013 bagi fasa pertama pembinaan.

“Kerajaan negeri juga gagal meneruskan skim bantuan untuk keluarga si mati yang miskin iaitu Skim Kafalah sebanyak RM500 untuk setiap kematian yang diperkenalkan kerajaan lalu.

“Skim kafalah sudah jadi ‘Kafanlah’. Sedangkan kerajaan Pakatan Rakyat dahulu membelanjakan RM4.9 juta untuk hampir 10,000 penerima. Kalau kerajaan terdahulu mampu, mengapa kerajaan BN tak mampu?” ujarnya.

Aishah pesan jangan mudah rasa selesa

Muhammad Faeez Azahar, 25 Okt 2013



JERAI: Artis hijrah, Wan Aishah Wan Ariffin mengingatkan  jentera parti agar tidak berasa selesa sebaliknya berusaha bermati-matian untuk mempertahankan kemenangan PAS di Dun Sungai Limau.

Menurutnya, semua jentera jangan mengambil mudah pilihan raya kecil (PRK)  ini dengan bersandarkan keputusan PRU13 lalu.

Kata beliau, jentera parti disemua peringkat perlu mengenal pasti pengundi PAS pada PRU13 lalu dan memujuk mereka agar terus memberikan sokongan kepada PAS disamping memujuk orang Umno untuk berubah.

"Kita jangan alpa, sekarang ini kita 'under attack', kena tingkatkan usaha lebih lagi," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup program mesra rakyat yang diadakan di Markas Induk Unit Peti Undi (UPU) Simpang Tiga, Sungai Limau dekat sini hari ini.

Aishah yang terkenal dengan lagu Janji Manismu berkata, rakyat perlu dijelaskan berkaitan isu-isu semasa terutama tentang kenaikan kos kehidupan seharian seperti harga minyak dan sebagainya.

Kata beliau, masih ada lagi masyarakat yang masih mempercayai kata-kata manis serta alasan BN hingga menyebabkan mereka tidak berasa marah walaupun dihimpit dengan pelbagai kesusahan terutama sebaik sahaja PRU13 lalu.

"Sebelum PRU13, Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd Najib Razak) janji tidak akan naikkan harga minyak, tetapi janji manismu Najib hanya tinggal janji.

"Rakyat Sungai Limau perlu menilai semua ini dan jangan beri mereka 'tiket' untuk terus bermaharaja lela dengan mengundi BN," jelasnya lagi.

Aishah turut mempersoalkan apakah yang sudah dilakukan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir sepanjang 5 bulan ini.

Beliau mengakui  tidak nampak apa yang dilakukan oleh Mukhriz sebaliknya menggugat dan mencipta masalah seperti isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) hingga menyebabkan kakitangannya dizalimi.

Beliau turut menasihati pengundi agar memujuk dan mengajak anak-anak dan ahli keluarga yang boleh mengundi untuk pulang mengundi.

Katanya, usaha ini  penting bagi memastikan kemenangan PAS dikekalkan dan kerja buat Almarhum Tan Sri Azizan Razak dapat diteruskan.

Anak muda suka calon PAS, mudah didekati

Hazayani Zakaria, 25 Okt 2013
JERAI: Sifat lemah-lembut dan senang didekati anak muda menjadi kelebihan buat calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Limau.

Menurut Presiden Pertubuhan Anak muda Bersama Ulama (Panglima),  Sulaiman Ibrahim, anak muda menyokong penuh pilihan PAS itu dan amat menyenangi sifat positif yang dimiliki Azam.

"Pendekatan Ustaz Azam dengan anak muda amat lembut. Pendekatan yang dibawa manis dipandang dan mudah didekati.

"Saya perhatikan, anak muda senang sesuaikan diri dengan beliau dan ini kelebihan yang beliau miliki yang melayakkan beliau menjadi calon," kata beliau ketika ditemui Harakahdaily di Markaz Induk PAS PRK Sungai Limau, dekat sini hari ini.

Tambah Sulaiman yang juga bekas peserta Raja Lawak itu lagi, Azam sudah dikenali sewaktu era Allahyarham Tan Sri Azizan Razak  lagi.

"Ustaz Azam seorang yang bekerja kuat dan semasa Allahyarham Ustaz Azizan sakit dia banyak gerakkan tenaga untuk bantu kawasan.

"Beliau juga tidak mempunyai musuh dalam kalangan ahli Umno dan tidak timbul ketidakpuasan hati di kalangan orang Umno," katanya.

Azam, 37, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pasti Kedah adalah anak didik politik kepada bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Ustaz Azizan Razak pada suatu ketika dulu.

Sementara itu, Sulaiman (gambar, kiri) berkata, Panglima sedang bertungkus-lumus membantu pemuda merancang dan mengadakan program khusus untuk anak muda.

"Strategi kami nak jaga orang muda dan mahu kekalkan PAS di Sungai Limau.

"Oleh itu, Panglima memang berkampung sepenuhnya di sini bagi merancang program yang sesuai dan boleh menarik anak muda," katanya.

Tambah beliau, antara program yang akan diadakan ialah Debat Komidi Politik yang akan membincangkan isu serius secara komedi.

Selain itu katanya, semalam pemuda mengadakan program tukar minyak hitam motosikal secara percuma yang mendapat sambutan lebih 50 anak muda di Sungai Limau.

Skim Kafalah 'dikafankan' kerajaan BN

Salmiyah Harun, 25 Okt 2013
JERAI: Skim Kafalah yang dilaksanakan  Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah penggal lalu kini sudah menjadi 'kafanlah' apabila  tidak lagi diteruskan  kerajaan BN negeri.

Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya PAS Sungai Limau Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah mampu membelanjakan RM4.9 juta untuk hampir 10,000 penerima skim itu.

"Dulu Kafalah, kini jadi 'kafanlah' bungkus kain putih kemudian kebumikan. Skim itu, kita bagi semua rakyat negeri ini tidak kira agama," katanya dalam sidang media di Markas Induk PAS PRK Sungai Limau di Batu 15.

Beliau turut mempersoalkan, mengapa kerajaan BN hari ini tidak mampu meneruskan skim itu sedangkan kerajaan Pakatan Rakyat pada penggal lalu berjaya mengagihkan skim bantuan itu kepada mereka yang memerlukan.

Kafalah adalah skim bantuan kewangan sebanyak RM500 untuk keluarga si mati yang miskin, ia merupakan usaha kerajaan PAS Kedah yang telah dilaksanakan ketika PAS di bawah pentadbiran Allahyarham Tan Sri Azizan  Razak pada penggal lalu.

Sehubungan itu, PAS Kedah gembira apabila gesaan mereka untuk menganjurkan politik damai dan harmoni disambut baik oleh BN namun, ianya tidak bermaksud pertentangan dasar dan isu pihak lawan diketepikan.

"Memandangkan media arus perdana tidak memberikan liputan yang adil maka usaha mendedahkan penyelewengan dan kelemahan pentadbiran BN, negeri mahupun pusat akan tetap diteruskan," tegas Amiruddin.

Turut sama dalam sidang media itu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkifli Ahmad, Penyelaras DHPP PRK Sg Limau Sobri Osman dan Pengarah Unit Media Zulkifli Yahya. 

Kerajaan BN enggan teruskan legasi Ustaz Azizan

Hazayani Zakaria, 25 Okt 2013
JERAI: PAS Kedah kesal terhadap Kerajaan BN Negeri Kedah yang enggan meneruskan program bermanfaat yang dicadang dan dilaksanakan Kerajaan PAS sebelum ini.

Ketua Pembangkang Dun Kedah Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, keputusan kerajaan BN di bawah Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir menangguhkan pembinaan Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi sangat tidak wajar dan mengabaikan kepentingan pendidikan anak-anak Kedah.

"Kemudahan yang PAS cuba sediakan pada zaman pemerintahan kita diabaikan dan kerajaan membiarkan pelajar belajar dalam keadaan tidak selesa di kampus sementara di Kulim.

"Kita dapat maklumat daripada pihak pengurusan Maahad Tahfiz di Kulim, pengambilan sudah kali kedua dengan pelajar seramai seratus orang tapi pengambilan ketiga tidak dapat dilakukan kerana tidak cukup tempat.

"Ini satu lagi perkara yang tak seharusnya berlaku kerana pendidikan ini seharusnya kita harus beri sokongan dan dokongan," kata beliau pada sidang media di Markas Induk PAS PRK Sungai Limau di Batu 15, dekat sini, hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan PAS di bawah pentadbiran Allahyarham Tan Sri Azizan Razak telah meluluskan peruntukan RM3 juta untuk pembinaan Maahad Tahfiz Di Pulau Tuba.

Pecah tanah juga telah dilakukan dan tender diberikan kepada syarikat yang berkelayakan.

Namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-13, projek tersebut ditangguhkan.

Justeru PAS Kedah berharap Kerajaan Negeri Kedah menimbangkan semula keputusan tersebut dan meluluskan projek untuk manfaat anak-anak Kedah.

"Kita harap perkara ini akan dapat diberi perhatian oleh kerajaan negeri demi pendidikan anak-anak Kedah," katanya.

Hukum bunuh dan salib perompak yang membunuh

Ustaz Zaharudin Muhammad, 25 Okt 2013
Saya cukup merasa sedih dengan peristiwa pembunuhan Norazita Abu Talib. Tambah terkejut apabila mengetahui bahawa beliau adalah penduduk di kawasan berhampiran dengan tempat saya Kota Damansara, iaitu di Subang Suria, tempat yang saya kerap berkuliah juga.

Saban hari berita pembunuhan demi pembunuhan. Sampai bila akan berakhir? Terus terang saya sebut, punca kepada semua ini adalah perundangan di samping masalah ekonomi. Terbukti hari ini kegagalan sistem konvensional di dalam mengatasi semua permasalahan ini.

Ekonomi konvensional menjadikan rakyat terjebak di dalam kemelut kewangan sehingga segelintir sangup melakukan apa sahaja dan hilang kewarasan sehingga sanggup membunuh orang lain kerana harta. Undang-undang yang korup ciptaan manusia menambah parah bukan sahaja tidak mampu mencegah segelintir manusia yang hilang kewarasan, bahkan kadang kala membuka jalan pesalah-pesalah terlepas.

Keluarga NORAZITA ABU TALIB dalam konteks undang-undang hari ini, mampu melihat pembunuh keluarga mereka ditangkap dan selepas itu hanya dengari khabar dari jauh. Jika didadapati bersalah, pun hanya dengar khabar dari jauh. Kehilangan tetap kehilangan, kesedihan tetap kesedihan, geram tinggal geram kepada penjenayah, tetapi hanya mampu mendengar dari jauh hukuman terhadap penjenayah.

Dulu kita dengar CEO yang sepatutnya menjadi pagar, akhirnya pagar makan padi dengan pecah amanah. Pegawai-pegawai kerajaan yang diamanahkan jaga harta rakyat, akhirnya dia sendiri yang tidak amanah dengan penemuan audit negara dari tahun ke tahun. Pengawal yang sepatutnya kawal bank dari perompak akhirnya pengawal sendiri yang merompak dan membunuh warga kerja bank. Apa nak jadi dengan Malaysia ya Allah!

Rakyat terus bodoh dengan mempertahankan perundangan konvensional yang korup. Penjenayah yang ditangkap, diberi makan dengan duit rakyat dalam penjara, kerajaan saban hari dapat untung daripada kompaun yang dikutip, mangsa jenayah terus menjadi mangsa tanpa pembelaan, mangsa jenayah dan keluarga mereka terus dihimpit kesedihan dan bebanan perasaan tanpa ada tindakan yang memuaskan hati mereka.

Lihat dalam Islam, hukuman ke atas perompak seperti dalam kes ini:

إﻧﻤﺎ ﺟﺰاء اﻟﺬﯾﻦ ﯾﺤﺎرﺑﻮن اﻟﻠﻪ ورﺳﻮﻟﻪ وﯾﺴﻌﻮن ﻓﻲ اﻷرض ﻓﺴﺎدا أن ﯾﻘﺘﻠﻮا أو ﯾﺼﻠﺒﻮا أو ﺗﻘﻄﻊ أﯾﺪﯾﻬﻢ وأرﺟﻠﻬﻢ ﻣﻦ ﺧﻼف أو ﯾﻨﻔﻮا ﻣﻦ اﻷرض ذﻟﻚ ﻟﻬﻢ ﺧﺰي ﻓﻲ اﻟﺪﻧﯿﺎ وﻟﻬﻢ ﻓﻲ اﻵﺧﺮة ﻋﺬاب
ﻋﻈﯿﻢ

Maksudnya: Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar. (Al-Maidah: 33)

Hukum bunuh dan salib bagi perompak yang mengambil harta dan membunuh mangsa boleh dikatakan sepakat. Tetapi bagaimanakah cara pelaksanaannya. Adakah disalib (ikat pada tiang) dahulu kemudian bunuh, atau bunuh kemudian salib mayatnya?

ﻓﻈﺎﻫﺮ ﻣﺬﻫﺐ اﻟﺸﺎﻓﻌﻲ رﺿﻲ اﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ أن ﯾﻘﺘﻞ ﺛﻢ ﯾﺼﻠﺐ وﻗﯿﻞ: ﯾﺼﻠﺐ ﺣﯿﺎ ﺛﻢ ﯾﻄﻌﻦ ﺣﺘﻰ ﯾﻤﻮت ﻣﺼﻠﻮﺑﺎ، وﻫﻮ ﻗﻮل اﻟﻠﯿﺚ ﺑﻦ ﺳﻌﺪ ،وﻗﯿﻞ :ﯾﺼﻠﺐ ﺛﻼﺛﺔ أﯾﺎم ﺣﯿﺎ ﺛﻢ ﯾﻨﺰل ﻓﯿﻘﺘﻞ .

Maksudnya: Menurut pendapat kuat di dalam mazhab Syafei, perompak (yang membunuh dan mengambil harta), hendaklah dibunuh (terlebih dahulu) dan disalib (diikat pada tiang). Ada juga berpendapat, ia disalib hidup-hidup dan ditikam sehingga mati. Pendapat ini pendapat Imam Al-Laith bin Saad. Ada pendapat yang menyatakan: disalib selama 3 hari, kemudian dirungkai ikatannya dan dibunuh.

Sebahagian pendapat melihat, keluarga si mati paling berhak menikam si perompak sewaktu berada di ikatannya.

Bagi yang melihat rakaman perompak menembak mangsa tanpa belas kasihan, maka paling wajar hukuman yang boleh menjadikan hati keluarga mangsa terubat, menginsafkan perompak yang lain daripada mengulangi perkara yang sama, maka saya yakin, inilah hukuman terbaik.

Jika keluarga mangsa diberikan pilihan, cara Islam ini paling boleh mengubat hati dan kesedihan keluarga si mangsa berbanding undang-undang konvensional yang mengabaikan pihak keluarga si mangsa.

Saya tidak tergamak nak upload gambar si mangsa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, Al-Fatihah.

Ya Allah, amankan Malaysia dengan undang-undang-Mu. Insyaallah, kami akan terus berjuang sehingga undang-undang-Mu yang adil dapat ditegakkan, seterusnya keamanan daripada jenayah akan dapat dikecapi.
________________________________________
Penulis ialah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS

Tiada ulasan: