Selasa, 29 Oktober 2013

BILA DEKAT LUPUS ATAU DAH LUPUS....ATAU JUGA GRED RENDAH UNTUK RAKYAT YANG TAK BERKEMAMPUAN

Sultan Brunei lancar buku Qanun Jenayah Syariah

Harakahdaily, 29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Buku Qanun Jenayah Syariah: Satu Pengenalan dan The Shari’ah Penal Code: An Introduction telah dilancarkan oleh Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.

Pelancaran dibuat semasa Majlis Ilmu 2013 sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-67 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, Negara Brunei Darussalam.

Buku-buku tersebut adalah hasil karya Pehin Datuk Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Abdul Aziz Juned, Mufti Kerajaan Brunei Darussalam berdasarkan Kuliah Bersama Mufti di 11 buah masjid untuk memberi penerangan mengenai keindahan undang-undang jenayah syariah.

Jabatan Mufti Kerajaan dalam satu kenyataan menjelaskan ia sebagai mendukung titah Sultan Brunei untuk melaksanakan Qanun Hukuman Jenayah Syar’iah di negara itu.

Menruutn kenyataan itu, objektif buku itu adalah untuk menyangkal anggapan sebahagian pihak bahawa undang-undang Jenayah Syar’iah adalah usang dan tidak layak untuk dilaksanakan, pada hal undang-undang jenayah S itu jauh lebih unggul tidak berubah-ubah dan lebih menyeluruh.

“Sesungguhnya undang-undang Allah itu adalah amanah bagi semua untuk diketahui, disampaikan dan  dilaksanakan. Terpulang, sama ada orang mahu menerimanya ataupun tidak. Orang yang menerimanya dijanjikan ni’mat di dunia dan akhirat,” tambah kenyataan itu.

Buku setebal 248 mukasurat itu mangandungi 3 bab, iaitu bab Qisas, Hudud dan bab Ta’zir. Harga kulit keras ialah $14.00 sementara kulit nipis ialah $10.00.

BN beri susu tamat tempoh kepada pengundi

Harakahdaily, 29 Okt 2013


JERAI: Pengundi di sekitar Unit Peti Undi Sungai Dedap, di sini terkejut dan kecewa dengan susu krimer tamat tempoh yang 'dihadiahkan' BN sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau.

Susu krimer yang diberi bersama tepung gandum, beras dan gula itu diterima mereka semalam ketika petugas kempen BN berkempen ke rumah mereka.

Di beg plastik luar pula, tertera nama dan gambar Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada bahagian bawah tin susu tersebut tertera tarikh luput pada 26 Oktober 2013 iaitu dua hari lalu.

Kecewa dengan keadaan itu, seorang pengundi tampil mendedahkannya di sidang media PAS di sini.

Khairul Hartimi, 35, berkata perkara itu disedari adik perempuannya ketika membuka plastik barangan tersebut untuk melihatnya.

"Saya berasa sedih dan marah, walaupun kami orang kampung, jangan hina kami macam ini.

"Kita hargai pemberian orang, tapi beri lah dengan ikhlas, beri la barangan yang baik-baik dan masih elok," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Menurutnya, pihak-pihak yang mahu memberi sebarang bantuan atau hadiah sempena pilihan raya ini perlu meneliti barangan sebelum diagihkan.

Katanya, dalam keghairahan memancing undi, jangan sesekali memperjudikan keselamatan pengundi.

"Kalau kita bagi balik susu ini kepada mereka yang memberi ini, adakah mereka sanggup makan," soalnya.

Pemuda PAS Sarawak bersiap hadapi PRN11

Mahfuz Kamil , 29 Okt 2013


BINTULU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) telah mengadakan mesyuarat agung kali ke-9 kelmarin bagi melaksanakan proses pemilihan kepimpinan sesi 2013-2015.

Mengangkat tema ‘Iltizam Untuk Sarawak’, ianya tergambar jelas bahawa fokus yang berterusan dan komitmen yang tinggi daripada DPPNS dalam menawarkan pakej kebajikan PAS di negeri Sarawak.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub merasmikan mesyuarat itu yang berlangsung pada jam 3.00 petang di sebuah hotel di sini.

Turut berucap ialah Ketua DPPNS, Mohd Arifiriazul Paijo yang menekankan muhasabah gerak kerja PRU13 yang lalu, penumpuan kepada Pelan Strategik 10 Tahun PAS Sarawak (Pesat), pemerkasaan promosi 12 Tawaran PAS Sarawak dan persiapan bagi menghadapi Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 yang akan datang.

Proses Pemilihan Jawatankuasa DPPNS yang baru juga telah berjalan dengan baik, serta seluruh perwakilan telah menunaikan amanah mereka untuk memilih kepimpinan DPPNS baru untuk mengemudi sayap pemuda Sarawak sesi 2013-2015.

Usai pemilihan kali ini, beberapa muka baru telah terpilih untuk menerajui kepimpinan Pemuda negeri, dengan menyaksikan Mohd Arifiriazul Paijo kekal sebagai Ketua Pemuda DPPNS untuk penggal kedua.

Timbalan pula ialah Zharudin Narudin, Syamsulbahrie Mohamad (naib) sementara ahli jawatankuasa terdiri daripada Afnan Aminudin, Akram Ismail, Syed Muhammad, Lokman Rahim, Muazzam Mohammad, Ihsan Halim, Abdul Hadi Alias, Hamdani Abdullah, Farhan Badaruddin dan Salman Razeni.

Mesyuarat agung kali ini diakhiri dengan amanat Ketua Pemuda yang meletakkan harapan tinggi agar DPPNS terus mengorak langkah dengan momentum yang kekal positif di persada politik Sarawak dalam rangka meraih kepercayaan rakyat akan kemampuan PAS Sarawak sebagai juara membela isu dan kebajikan rakyat.

MP Lenggong beri 'bola tanggung'

Harakahdaily, 29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: 'Bola tanggung' yang diberikan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah (gambar) kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang Dewan Rakyat semalam, 'dilibas' dengan baik oleh Ahli Parlimen Marang itu sehingga Dewan Rakyat digegarkan dengan tepukan sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat daripada Pakatan Rakyat.

Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)mempersoalkan janji Kerajaan Negeri Kelantan untuk membina Lebuh Raya Rakyat yang menghubungkan Kota Bharu dengan Kuala Krai ketika mencelah ucapan Ustaz Abdul Hadi di Dewan Rakyat, semalam.

"Ini bola tanggung yang kamu berikan kepada saya... Bukankah itu sebenarnya tanggung jawab Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat yang tidak menunaikan tanggung jawab ini," bidas Ustaz Abdul Hadi disambut tepukan meja dan sorakan sokongan anggota Dewan.

Menjelaskan diskriminasi kerajaan BN pusat di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, Ustaz Abdul Hadi memberi contoh projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang sepatutnya menghubungkan negeri Pahang, Terengganu sehingga ke Kelantan.

"Selepas BN kalah (di Terengganu) pada tahun 1999, lebuh raya itu tidak dibuat maka Kerajaan PAS Negeri Terengganu ketika itu membuat inisiatif sendiri untuk membina lebuh raya daripada kewangan anak syarikat dan konsortium luar negara, namun ia tersekat kerana perlu melalui MITI  (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri)  dan Bank Negara.

"Berikan kebebasan kepada negeri. Berikan kembali royalti kepada Terengganu dan Kelantan. Dia suruh kita buat, tapi dia cekik kita!" tegas Ustaz Abdul Hadi.

Laporan Audit Negara tidak jadi iktibar

Harakahdaily, 29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Isu ketirisan dan pemborosan dalam jabatan dan institusi kerajaan seperti terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara turut disentuh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika bangun berucap membahaskan Bajet 2014 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau kesal kerana pendedahan dan teguran yang dibuat Ketua Audit Negara terhadap budaya berbelanja jabatan kerajaan tidak dijadikan iktibar dan diperbaiki manakala individu yang terbabit dengan penyelewengan tidak didakwa.

"Laporan Ketua Audit Negara dengan ikhlas mendedahkan segala yang berlaku. Sepatutnya, ia dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita semua, malangnya penyelewengan ini terus berulang dari tahun ke tahun.

"Pesalah yang lalu tidak dihukum dan dilupakan seperti kes pesawat Skyhawk, Perwaja, KWSP, Tabung Haji dan bermacam lagi. Yang lama dilupakan, datang pula yang baru," ujarnya.

Beliau mengumpamakan semua anggota Dewan Rakyat 'berada dalam bahtera yang sama' dan  jika bahtera yang dinaiki tenggelam, semua yang berada dalam bahtera itu akan tenggelam.

"Inilah tugas pembangkang menyelamatkan negara melalui kritikan dan teguran atas masalah yang berlaku," ujarnya.

Menyentuh tentang fenomena 'kebocoran' dalam pengagihan subsidi, beliau kesal kerana subsidi tidak diagihkan dengan betul oleh kerajaan malah kerapkali diagih berdasarkan kaum dan parti.

Wang negara juga, jelas beliau dibelanjakan dengan sewenang-wenangnya oleh kerajaan apabila berlaku pilihan raya umum dan pilihan raya kecil; namun apabila kewangan negara sudah meruncing,  kerajaan mengenakan cukai baru yang membebankan rakyat seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Gula naik, pesakit diabetes turun tahun hadapan?

Harakahdaily, 29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi gula menyebabkan kenaikan harganya sebanyak 34 sen sekilogram dan dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 mulai Sabtu lepas.

Pelbagai alasan diberikan untuk merasionalkan kenaikan harga gula. Antaranya adalah kerana pengurangan subsidi gula menyebabkan berlaku kenaikan harganya.

“Ada juga kenyataan dungu dengan menyatakan kenaikan harga gula adalah bagi mengurangkan penyakit diabetes,” ujar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Riduan Mohd Nor.

Paling menyedihkan, ujarnya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan sewaktu kempen pilihanraya kecil Dun Sungai Limau dengan  rasional kenaikan harga gula bagi mengenang penderitaan allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak yang terpaksa dipotong kedua-dua kakinya akibat penderitaan penyakit kencing manis.

Soalnya, kata beliau di mana kajian menyatakan menaikkan harga gula dengan secara automatik boleh menyebabkan berlaku penurunan dalam penyakit diabetes.

“Apakah pemimpin negara mahu samakan pengambilan gula dengan rokok?

“Apakah kerana mahu mengurangkan pengambilan rokok yang semestinya membahayakan kesihatan itu, maka kerajaan terpaksa menaikkan harganya tahun demi tahun dan strategi yang sama tindakannya dengan menaikkan harga gula?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya di mana makanan dan minuman tanpa gula.

Tambahnya, yang diketahui kesan kenaikan harga gula adalah kenaikan pada harga barangan terutama pada makanan dan minuman.

Kata beliau, kesan secara langsung adalah kenaikan kos sara hidup ekoran kenaikan harga makanan dan minuman.

Menurutnya lagi, rakyat akan lebih menderita malah mungkin ada yang memakan cicak, lipas, semut dan serangga bagi menampung kehidupan mereka.

“Jika beginilah alasan kerajaan ini bermakna kerajaan sudah tidak ada idea dan alasan untuk diberikan kepada rakyat,” katanya.

Kata beliau, pengurangan subsidi pada gula boleh dielakkan sekiranya kerajaan berhemat dalam berbelanja.

Katanya lagi, dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 melaporkan berbilion ringgit wang rakyat hangus dalam pembaziran, ketirisan, penyelewengan dan penyalahgunaan.

“Mengapa tidak ditegaskan dalam soal penguruan yang telus dan cekap yang melibatkan agensi kerajaan berbanding mengambil tindakan drastik menaikkan harga gula yang memberi kesan kepada seluruh rakyat di negara ini?” tanya beliau.

Daripada kenyataan pemimpin negara itu, katanya rakyat mahu melihat kesan penyakit diabetes menurun dalam setahun mendatang.

“Datangkan fakta, statistik serta kes studi untuk rakyat percayai bahawa sememangnya itulah langkah berkesan untuk mengurangkan penyakit diabetes,” tegasnya.

Jika tidak, ujarb beliau rakyat mengecop pemimpin negara yang suka berbohong dan mencari dalih bagi menghalalkan tindakan mereka menyiksa rakyat.

Tiada ulasan: