Selasa, 29 Oktober 2013

BILA BALASAN AKAN TIBA JUA

Peluang pelajar IPT jadi ‘wakil rakyat’

Selangorku, 29 Okt 2013
SHAH ALAM: Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) berpeluang merasai prosiding sebenar di Dewan Undangan Negeri Selangor (Dun) sebagai ‘wakil rakyat’ melalui Program Adun Muda Selangor 2013, pada 16 hingga 18 Disember ini.

Program yang pertama kali dianjurkan itu adalah satu insiatif kerajaan negeri bagi mendidik golongan muda berkenaan peranan dan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta memberi pendedahan kepada dunia politik di peringkat awal.

Speaker Dun, Hannah Yeoh, berkata objektif program itu adalah memupuk sifat kepimpinan dan saling bekerjasama di kalangan peserta serta melahirkan bakal pemimpin yang berkaliber serta bertanggungjawab.

“Program Adun Muda Selangor dianjurkan Pejabat Speaker dan Pejabat Dun khas untuk pelajar IPT sekitar Selangor untuk memberi peluang kepada mereka merasai prosiding sebenar sidang dewan,” katanya ketika sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dun, Nik Nazmi Nik Ahmad; Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin; Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan Adun Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, program itu dibuka kepada pelajar berumur 18 hingga 24 tahun daripada IPT awam dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan mahasiswa.

“Pada tahun ini, hanya 30 pelajar yang akan dipilih untuk menyertai program ini. Jika sambutan yang diterima menggalakkan, kita merancang untuk melakukan program ini sebanyak dua kali, tahun depan,” katanya.

Katanya, peserta akan diberi peluang menyuarakan pendapat dan bertanya kepada pihak kerajaan berkenaan polisi, khususnya yang memberi impak kepada golongan muda, selain turut diberi kesempatan mencadangkan usul bagi memperkenalkan undang-undang baru di Selangor.

“Peserta akan memainkan peranan sebagai Adun pada sidang dewan itu dan akan Speaker dan saya Timbalan Speaker. Program itu turut mendapat perhatian Exco kerajaan negeri yang dijangka akan mengambil tempat di dalam persidangan itu.

Sehubungan itu, mereka yang berminat untuk menyertai program itu boleh membuat permohonan atas talian di laman sesawang www.adunmudaselangor.com, sebelum 8 November ini.

Selepas Mahfuz, Pahrolrazi pula difitnah

Harakahdaily, 29 Okt 2013
JERAI: Selepas memfitnah Datuk Mahfuz Omar dengan sistem pesanan ringkas (SMS) palsu kelmarin, teknik sama juga digunakan terhadap Adun Pengkalan Kundur Datuk Pahrolrazi Mohd Zawawi.

Kali ini, pihak terbabit menyebarkan SMS menggunakan nombor telefon Pahrolrazi kononnya beliau tidak berpuas hati dengan PAS Kedah kerana jentera Kuala Kedah ditempatkan di Dulang Besar dan Dulang Kecil untuk PRK kali ini.

Menurut Pahrolrazi, beliau menerima panggilan dan SMS bertubi-tubi sejak malam tadi yang menanyakan kesahihan perkara itu.

"Ini satu taktik politik yang sangat kotor untuk memporak perandakan PAS.

"Semua keputusan (penempatan kawasan) dibuat jawatankuasa induk, dan saya salah seorang ahli induk. Perkara ini tidak berbangkit," katanya pada sidang media hari ini.

Lebih besar dari itu ujarnya, apa yang dipersoalkan adalah keselamatan sistem komunikasi yang dilihat mudah diceroboh pihak tertentu.

Beliau juga telah menghubungi syarikat pembekal telekomunikasi berkenaan, dan mendapati mereka tiada rekod dan mendakwa ianya berlaku dengan pintasan sistem.

"Saya yakin ini tindakan musuh politik, oleh pihak yang berkemampuan, ada duit dan ada akses untuk berbuat demikian.

"Sudah tentu kerja musuh, kawan tak buat macam ni," katanya.

Sehubungan itu beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar kira-kira jam 9 pagi tadi.

"Laporan polis ini juga saya akan serahkan kepada syarikat telekomunikasi untuk menyiasat siapa dalang kepada kes ini," katanya.

Kelmarin, nombor telefon Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dipintas pihak tertentu untuk menyebar SMS palsu kononnya beliau menghina calon BN, Dr Ahmad Sohami Lazim.

SMS fitnah itu antara lain mendakwa Ahmad Sohaimi pernah menerima rawatan mental.

Mahfuz pada sidang media semalam bagaimanapun telah menafikan SMS itu daripadanya, sebaliknya menjelaskan ia tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nombor telefonnya.

Perkasa modal insan untuk bendung jenayah

Harakahdaily, 29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan memperkasakan aspek modal insan guna membanteras masalah jenayah yang semakin berleluasa sekarang dan tidak hanya bergantung kepada pasukan keselamatan, ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berucap membahaskan Bajet 2014  di Dewan Rakyat semalam, beliau menyarankan supaya sistem pendidikan negara diperbaiki untuk mencapai hasrat tersebut.

"Kita perlu sedari dan akui masalah ini (jenayah) tidak dapat diatasi dengan penggunaan senjata dan pasukan keselamatan sahaja. Di sana adanya aspek lain yang perlu diambil kira iaitu modal insan.

"Acuan yang telah diguna pakai tidak dibangunkan dengan fitrah yang sebenar. Manusia itu secara fitrahnya ada jasad, roh, akal dan hidup bermasyarakat. Kaitan ini perlu diadun dengan acuan pendidikan. Maka pentingnya sistem pendidikan negara ini diperbaiki," ujarnya.

Media juga, tambah beliau perlu berperanan menanamkan nilai-nilai baik kepada generasi muda.

Menyentuh aspek perundangan, beliau menyifatkan undang-undang negara hari ini tidak digeruni oleh penjenayah malah negara Barat yang mencipta sistem perundangan kini gagal menangani masalah jenayah.

"Jenayah yang berlaku di Amerika (Syarikat) tidak dihitung mengikut bulan dan hari, tapi dikira mengikut jam dan minit kerana terlalu banyak," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ustaz Abdul Hadi turut mengucapkan syabas kepada negara Brunei Darussalam yang mengisytiharkan pelaksanaan hukum hudud dan qisas walaupun mendapat bantahan pertubuhan hak asasi dunia.

Penentangan ini, ujarnya mungkin disebabkan kegagalan mereka memahami konsep dan prinsip undang-undang Islam yang lebih bersifat mendidik dan bukannya menghukum.

GST: Muhyiddin dicabar berdebat di Sg Limau

Muhammad Faizal, 29 Okt 2013
JERAI: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub hari ini mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turun ke Sungai Limau bagi berdebat isu berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Jelas beliau, Muhyiddin perlu berani untuk berdepan dengan PAS bagi mengetahui sama ada parti itu mempunyai pakar ekonomi atau tidak dalam berbicara soal GST.

"Saya mencabar Muhyiddin untuk turun ke Sungai Limau dan berdepan dengan kita (PAS) untuk berdebat dalam isu GST.

"Saya hendak beliau sendiri mengetahui sama ada PAS mempunyai pakar ekonomi atau tidak dalam bercakap soal ini.

"Jika beliau berani sila tampil dan kita bersedia bila-bila masa untuk berdepan dengannya," jelasnya ketika ditemui di Markas Induk PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau.

Muhyiddin pada Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan di Kompleks Pertubuhan Peladang, Bukit Besar, Yan Sabtu lepas memberitahu PAS tidak mempunyai pakar ekonomi untuk menjelaskan soal GST yang baginya dilihat sebagai mengukuh ekonomi negara.

Minta maaf: Mukhriz gagal jadi teladan anak muda

Muhammad Faizal, 29 Okt 2013
JERAI: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dilihat gagal menjadi teladan kepada generasi muda apabila enggan memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang telah menghina keluarga itu yang mengaitkan penyakit Ustaz Azizan dengan kenaikan harga gula.

Malah kenyataan Mukhriz turut dilihat menghina apabila tidak ada perasaan tanggungjawab dan sebaliknya menuduh PAS cuba mempolitikkan isu tersebut.

Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media di Markas Induk melahirkan kesal dengan kenyataan Mukhriz apabila membela kenyataan Muhyiddin tanpa ada sikap bertanggungjawab.

"Saya kecewa dengan kenyataan Mukhriz, sepatutnya beliau tidak membela kenyataan Muhyiddin dan sebaliknya beliau tampil bertanggungjawab mewakili TPM memohon maaaf atas penghinaan kepada Ustaz Azizan dan keluarga.

"Secara jelas Muhkriz gagal menjadi teladan kepada generasi muda atas sikap beliau itu, malah yang paling hina apabila tidak ada perasaan tanggungjawab sebagai Menteri Besar dalam isu itu sebaliknya menuduh PAS yang mempolitikkan kenyataan TPM," jelasnya.

Tambah Mahfuz lagi, kenyataan Muhkriz itu bukan perkara yang boleh meredakan keadaan tetapi telah menambahkan kedukaan keluarga Ustaz Azizan

"Semalam keluarga Ustaz Azizan meminta agar TPM memohon maaf atas apa yang berlaku, dalam masa mereka sedang bersedih dan genap sebulan pemergian Allahyarham, kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin adalah tidak wajar.

"Ini semuanya menambahkan kedukaan serta kesedihan mereka, namun Muhkriz cuba membela Muhyiddin katakan ia dipolitikkan oleh PAS, ini tak betul,” ujarnya.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu menggesa agar Muhkriz mengambil pendekatan terbaik dalam menjaga hubungan antara kerajaan dengan rakyat.

"Menteri Besar Kedah perlu bertanggungjawab dalam isu ini, apakah beliau sanggup melihat ada keluarga yang sedih dengan kenyataan tersebut, TPM perlu fikir positif bukan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Saya harap Mukhriz menjadi contoh kepada orang muda, tunjukkanlah akhlak yang baik dan menjadi contoh kepada semua," tambah beliau.

Susu tamat tempoh: Azeez digesa mohon maaf

Harakahdaily, 29 Okt 2013
JERAI: Pengarah Jawatankuasa Induk PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar memandang serius tindakan BN yang menghadiahkan susu tamat tempoh kepada pengundi di sini.

Menurut beliau, tindakan itu tidak seharusnya berlaku kerana ianya boleh mengancam kesihatan pengguna khususnya pengundi di sini.

"Tak kan la punya sengkek, kedekut piang BN ni. Cari la yang elok sikit nak bagi kat orang," kata Mahfuz dalam loghat Kedah pada sidang media harian di markas induk PRK Sungai Limau di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan seorang pengundi yang menerima susu tamat tempoh daripada jentera BN yang datang berkempen ke rumahnya di Sungai Dedap di sini semalam.

Pada bahagian bawah tin susu yang deberi bersama tepung gandum, beras dan gula itu tertera tarikh luput pada 26 Oktober 2013 iaitu dua hari lalu.

Pada beg plastik luar pula tertera nama dan gambar Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas lanjut perkara itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menggesa  Abdul Azeez bertanggungjawab dan memohon maaf kepada pengundi di sini.

"Jangan hina orang Sungai Limau dengan susu tamat tempoh.

"Saya minta penerima untuk periksa dahalu tarikh luput tersebut. Kalau sudah tamat tempoh, jangan makan, kita khuatir keracunan," katanya.

Islam ajar beri yang terbaik

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali yang turut serta pada sidang media tersebut berkata, tindakan tersebut juga bercanggah dengan nilai-nilai agama.

Katanya, Islam mengajar umatnya agar memberi hadiah dengan sesuatu yang baik kepada orang lain yang tidak memudaratkan penerimanya.

"Islam ajar kita bagi hadiah dengan barang yang baik dan elok.

"Seperti yang diajar agama bahawa jangan beri barangan yang tidak elok yang kita sendiri tidak mahu mengambilnya (jika barang itu diberi kepada kita)," katanya.

Tiada ulasan: