Khamis, 3 Oktober 2013

APA DAH JADI

Calon PMR ambil periksa selepas bersalin

salinKOTA BHARU – Seorang calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sini, terpaksa menduduki peperiksaan terbabit di wad sebuah hospital…
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Nor,15, berkata, akibat hubungan terlarang bersama kekasihnya yang dikenali dua tahun lalu, dia disahkan mengandung setelah perutnya terus membesar.
Remaja terbabit yang bersalin secara normal Ahad lalu, masih dalam keadaan lemah namun tetap bersemangat untuk menduduki peperiksaan.
Menceritakan detik hitam itu, dia terpedaya  dengan pujuk rayu lelaki itu, setelah kekasihnya berjanji akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga dirinya.
“Akibat termakan pujuk kerana kasihkan si dia, saya rela dan tidak sangka hubungan saya bersamanya menyebabkan saya semakin jauh terlanjur sehingga melahirkan anak.
“Ibu dan ayah begitu marah dengan perbuatan saya ini  memandangkan saya masih bersekolah dan mereka dapat tahu selepas melihat keadaan perut saya yang semakin hari semakin membesar,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, setakat ini kini kes berkenan mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
Nor berkata, dia kini menyesal dengan perbuatannya itu dan mengharapkan keputusan peperiksaannya lebih baik daripada peperiksaan percubaan sebelum ini yang hanya memperolehi 2A.
“Saya nak berjaya dalam peperiksaan ini dan harap dapat sekurang-kurangnya 4A dalam enam mata pelajaran yang diambil supaya saya dapat buktikan bahawa saya masih mampu meneruskan pelajaran untuk ke tingkatan 4 nanti serta dapat menebus kesalahan lalu,” katanya kepada Sinar Harian.
Nor berharap, selepas ini dia dapat meneruskan persekolahan dan menumpukan perhatian dalam pelajaran walaupun pernah terlanjur dan tidak mengulangi kesilapan lalu.
Kenduri beracun: Pengantin baharu terkilan
  • Kenduri beracun: Pengantin baharu terkilan Tajul Urus menyampaikan sumbangan kepada Che Norma Khalid, 45, yang kehilangan anak bongsunya, Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, akibat keracunan makanan.
1 / 1
YAN - Tragedi keracunan makanan di majlis kenduri perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai, yang meragut tiga nyawa kelmarin menjadi sejarah hitam buat pengantin baru berkenaan.

Hasliyana Yusuf, 22, berkata, dia sedih dengan kejadian dan tidak menyangka majlis raja sehari bertukar menjadi tragedi hitam.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, trauma dan kesal dengan apa yang berlaku pastinya tidak dapat dilupakan.

“Kami sekeluarga begitu gembira dengan majlis yang diadakan memandangkan saya anak pertama yang melangsungkan perkahwinan.

“Namun, kejadian ini berubah menjadi nasib malang buat kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan, semalam.

Menurut bekas pelajar Politeknik Port Dickson itu, keluarganya sendiri turut mengalami keracunan sama.

“Mak, kakak dan adik saya turut mengalami keracunan dan ditahan di wad. Manakala keluarga sebelah suami saya tidak ada yang menerima kesan keracunan itu,” katanya.

Bapa pengantin, Yusuf Ahmad, 55, berkata, masakan yang disediakan kepada tetamu jemputan sempena kenduri itu dimasak oleh kakaknya dengan bantuan saudara-mara lain.

“Juadah yang kami sediakan ialah ayam masak merah, gulai ikan talang, kerabu pucuk paku dan sambal ikan bilis.

“Manakala ayam yang dijadikan juadah ditempah daripada dua pembekal dan satunya membekalkan ayam yang sudah berbau,” katanya.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain yang juga Adun Tanjong Dawai berkata, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan RM1,000 kepada keluarga yang maut manakala RM200 kepada mangsa yang dirawat di hospital.

Katanya, kerajaan negeri bersimpati dengan peristiwa ini yang merupakan satu tragedi yang tidak diduga sesiapa termasuk tuan rumah.,” katanya ketika melawat 63 mangsa yang masih menerima rawatan di Hospital Yan, semalam.
Orang mati terima bantuan JKM di P.Pinang
  • Audit
1 / 1
SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang membuat pembayaran Bantuan Am kepada 155 penerima yang telah meninggal dunia, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Bantuan yang disalurkan itu bermula sejak tahun 2006 sehingga Jun 2012, dedah laporan audit.

“Berdasarkan senarai keseluruhan penerima bantuan bagi dua daerah (Seberang Perai Utama dan Timur Laut) yang dipilih daripada Laporan Pembayaran, pengesahan melalui nama dan nombor kad pengenalan telah dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

“Mengikut maklum balas JPNPP, didapati seramai 155 orang penerima telah meninggal dunia dari tahun 2006 hingga bulan Jun 2012.

“Bagaimanapun, nama mereka masih lagi tersenarai dalam senarai Laporan Pembayaran Bantuan Bulanan,” kata laporan itu.

Katanya lagi, semakan dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) juga mendapati 155 akaun penerima yang telah meninggal dunia mendapati sejumlah RM13,070 telah dikeluarkan.

“Semakan terhadap Laporan Bulanan Larian Auto-Debit BSN bagi 155 akaun penerima yang telah meninggal dunia mendapati sejumlah RM13,070 wang bantuan daripada 77 kes penerima yang meninggal dunia telah dikeluarkan melalui akaun penerima tersebut.

“Manakala baki sebanyak 78 kes wang bantuan yang tidak dikeluarkan telah dikembalikan kepada JKM melalui pengesahan di Laporan Ringkasan Pemulangan Bantuan,” katanya.

Mulai Januari 2010, kadar baru Bantuan Am oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah antara RM100 hingga RM350 sebulan bagi setiap penerima yang layak.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan sebanyak 33.3 peratus (%) atas kadar semasa
sebagai tambahan kepada bantuan sedia ada.

Bagi tempoh 2010 sehingga Julai 2012, jumlah penerima bantuan yang aktif di Pulau Pinang adalah seramai 2,866 orang.

Bagi tempoh tersebut, JKM Pulau Pinang telah menerima sejumlah RM12.23 juta peruntukan dan
sehingga Julai 2012 sejumlah RM10.55 juta (86.2%) telah dibelanjakan.

Ketua Audit Negara berkata, JKM Pulau Pinang disarankan agar mendapatkan kerjasama daripada PDRM berhubung maklumat penerima yang telah meninggal dunia.

“... mewujudkan mesyuarat berkala antara JKM Pulau Pinang, Jabatan Pendaftaran Negara Pulau Pinang dan Bank Simpanan Nasional bagi menyelaraskan maklumat terkini penerima bantuan.

“Dan mendapatkan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia berhubung dengan maklumat penerima yang meninggal dunia,” menurut laporan itu.
Audit: Kos berganda projek 'sakit' Kuala Sawah
KUALA LUMPUR - Projek rangkaian paip pembetungan di Kuala Sawah, Seremban, Negeri Sembilan yang ‘sakit’ berikutan kelewatan kontraktor asal menyiapkannya memberi impak kepada kerajaan dari aspek kos berikutan peningkatan kos keseluruhan projek daripada RM81.45 juta kepada RM121.65 juta.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat kelmarin, semakan audit mendapati Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) masih belum menuntut kerugian itu memandangkan kerja-kerja pembinaan oleh kontraktor penyelamat masih dalam  pelaksanaan.

Mengikut syarat kontrak, kerajaan boleh menuntut kerugian daripada kontraktor asal jika kontrak ditamatkan akibat kegagalan menyiapkan projek.

Maklum balas JPP pada 8 Mac 2013 menyatakan bahawa, pelantikan kontraktor itu bukan seperti yang disyorkan Jawatankuasa Penilaian Tender JPP dan Lembaga Perolehan A, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Bagaimanapun, JPP telah memantau dan membantu kontraktor dalam pelaksanaan projek namun kontraktor tidak berupaya menyiapkan projek itu. JPP dalam maklum balasnya menyatakan, terpaksa mengambil langkah penamatan pengambilan kerja kontraktor mengikut prosedur.

Menurut jabatan itu, kerugian dialami kerajaan dan/atau ganti rosak yang berlaku kepada kerajaan akan dituntut secara terus daripada kontraktor.

Sehubungan itu, laporan itu mengesyorkan kepada JPP supaya menyenaraihitamkan kontraktor yang gagal menyiapkan kerja pembinaan projek pembetungan mengikut syarat kontrak. - Bernama
Audit: Kerajaan Johor terpaksa bayar lebih
  • Audit: Kerajaan Johor terpaksa bayar lebih Projek di Danga Bay yang turut dikesan berlaku ketirisan.
1 / 1
SENAI - Laporan Ketua Audit Negara 2012 ke atas Johor mendedahkan, pengurusan balasan daripada projek penswastaan secara keseluruhannya kurang memuaskan berdasarkan pengauditan dijalankan antara September hingga Disember tahun lalu.

Antara kelemahan dikenal pasti adalah perubahan kerja tidak dikawal sekali gus menyebabkan tambahan kos kepada kerajaan negeri khususnya bagi Projek Pembangunan Lagun Puteri.

Projek berkenaan adalah usahasama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dengan pemaju projek, Danga Bay Sdn Bhd (DBSB) yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor pada 3 Oktober 2001.

Mengikut Perjanjian Penswastaan yang ditandatangani pada 13 Februari 2003, kerajaan negeri mengurniakan tanah seluas 1.7088 hektar kepada DBSB dan sebagai balasan kerajaan negeri diberi komponen awam.

Komponen awam dimaksudkan adalah menaik taraf Jalan Skudai daripada dua kepada tiga lorong, landskap dan laluan pejalan kaki, basikal dan joging bernilai RM128 juta.

Berdasarkan perjanjian, Perenggan 3.01(b) menyatakan ‘tanpa kelulusan kerajaan negeri, syarikat tidak boleh membina atau melaksanakan atau mengambil bahagian dalam pelaksanaan atau pembinaan apa-apa kerja berkaitan dengan projek’.

Sebaliknya, semakan audit mendapati DBSB telah meminda, menambah dan membina beberapa komponen awam di Lagun Puteri bagi menambah tarikan dan kemudahan kepada awam tanpa kelulusan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Akibatnya, terdapat tambahan kos pembinaan berjumlah RM29.84 juta yang perlu ditanggung oleh kerajaan negeri.

Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor juga bersetuju menggantikan tuntutan kos tambahan tersebut dalam bentuk kurniaan tanah seluas 5.876 hektar di Danga Bay bernilai RM49.45 juta iaitu melebihi RM19.61 juta jumlah tuntutan.

Selain itu, laporan turut menyatakan tempoh pengurusan kemudahan awam di Danga Bay oleh pihak pemaju telah tamat, tetapi tiada penyerahan secara rasmi kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (SSI).
Audit: 7,659 kasut Kastam bernilai RM602,089 rosak
  • Audit
1 / 1
SHAH ALAM - Laporan Audit Negara 2012 mendedahkan baki kasut dibeli pada tahun 2009 oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak diagihkan sehingga akhir tahun 2012 dan sebanyak 7,659 pasang kasut bernilai RM602,089 telah rosak serta perlu dilupuskan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, pengauditan dijalankan pada November dan Disember 2012 mendapati secara umumnya, pengurusan perolehan kasut oleh anggota JKDM adalah kurang memuaskan.

"Kelemahan didapati adalah seperti walaupun peraturan kerajaan menetapkan pakaian seragam (termasuk kasut) hendaklah dibekalkan kepada anggota beruniform sebelum akhir bulan April setiap tahun, namun bekalan kasut tahun 2012 bagi anggota JKDM masih belum diagihkan lagi sehingga bulan November 2012.

"Pada pendapat Audit, pengagihan kasut tahun 2009/2010 untuk anggota JKDM tidak diuruskan dengan teratur dan berhemat kerana sebanyak 7,659 pasang kasut bernilai RM602,089 yang tidak diagihkan mengalami kerosakan atau tidak kukuh untuk dipakai lagi serta perlu dilupuskan," katanya menerusi laporan berkenaan.

Katanya, itu boleh dilakukan dengan menyediakan pangkalan data saiz kasut setiap anggota JKDM supaya dapat mengurangkan tempoh masa mengumpulkan saiz kasut dari setiap JKDM negeri/bahagian.

"Selain itu, perlu dipercepatkan proses penyediaan kertas taklimat tender untuk pertimbangan Lembaga Perolehan (B) Kementerian Kewangan.

"Audit turut mengesyorkan siasatan sama ada pelupusan kasut bernilai RM602,809 yang merugikan kerajaan disebabkan oleh ketidakcekapan dan kecuaian pegawai menguruskan perolehan kasut atau pegawai yang menguruskan pengagihan kasut dan seterusnya mengemukakan laporan berkaitan kepada Jabatan Audit Negara," katanya.
Audit: Rugi tetapi bayar bonus tanpa kelulusan
KOTA BHARU- Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan Ladang Tapis Sdn Bhd (LTSB), telah membayar bonus hingga 11.5 bulan gaji kepada kakitangannya walaupun kerugian.

LTSB yang juga anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), didapati membuat bayaran bonus pada 2011 tanpa mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Menurut laporan itu, audit antara Julai hingga September 2012 mendapati, pengurusan syarikat perladangan itu berada dalam keadaan kurang memuaskan apabila mengalami kerugian terkumpul RM5.21 juta pada 2011.

Mengulas isu tersebut, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap Laporan Ketua Audit Negara, termasuk merujuk jabatan dan agensi terlibat sebelum membuat keputusan.

“Oleh sebab dilaporkan audit, kita akan bincang dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, kita akan jalankan siasatan mengenai perkara itu,” katanya, semalam.
RM1.6 juta untuk artis K-Pop?
  • RM1.6 juta untuk artis K-Pop? Kedatangan artis K-Pop ke Himpunan Jutaan Belia sebelum ini mengundang kontroversi.
1 / 1
SHAH ALAM – Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan kerajaan membelanjakan RM1.6 juta untuk membawa masuk tiga kumpulan K-Pop dari Korea Selatan sempena Himpunan Jutaan Belia 2012, tahun lalu.

Tiga kumpulan itu ialah U-Kiss, Teen Top dan Dal Shabet.

Laporan itu menyatakan, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada perbelanjaan RM2.94 juta untuk menjayakan program tersebut.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut ditegur oleh Ketua Audit Negara kerana berbelanja terlalu tinggi dan tidak menepati perbelanjaan berhemat yang sepatutnya diamalkan kerajaan.

Laporan Ketua Audit Negara ternyata bercanggah dengan kenyataan Ketua Setiausaha KBS pada masa itu, Datuk Mohid Mohamed yang dilaporkan berkata, tiada wang rakyat digunakan untuk membayar artis berkenaan.

Mohid berkata, persembahan pada Mei 2012 itu yang diuruskan oleh Stadium First Sdn Bhd, dibiayai dengan tajaan swasta.

Menurutnya, KBS menerima tajaan keseluruhan bernilai RM28 juta untuk himpunan itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, KBS terpaksa menanggung pembayaran konsert tersebut setelah penaja menarik diri.

“Kenyataan awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana ketika itu ada tawaran daripada mereka untuk menaja aktiviti tersebut. Namun, tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran.

“Untuk makluman, acara konsert K-Pop dibatalkan untuk Hari Belia 2013 dan seterusnya,” katanya di laman Facebook, semalam.

Khairy berkata, beliau memandang serius pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 melibatkan kementeriannya.

“Jika kita serius melakukan transformasi ke arah kerajaan yang lebih telus dan amanah, laporan tersebut tidak boleh diketepikan. Rakyat tidak mahu melihat pemimpin kerajaan membisu tentang laporan ini.

“Saya juga tidak boleh menggunakan alasan laporan ini melibatkan perbelanjaan di KBS sebelum saya dilantik sebagai menteri. Prinsip kebertanggungjawaban bersama bermakna saya mesti menjawab dan bertindak ke atas apa yang berlaku dalam kementerian saya,” katanya.

Katanya, beliau telah meminta maklum balas daripada pegawai KBS berkaitan perkara lain yang dibangkitkan dalam laporan audit sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Guru hilang gaji di N. Sembilan
  • Guru hilang gaji di N. Sembilan KALSOM
1 / 1
SEREMBAN – Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) mengesahkan turut menerima laporan berhubung kejadian kes guru kehilangan gaji di negeri ini.

Pengarahnya, Kalsom Khalid bagaimanapun berkata, bilangan guru yang terlibat adalah sedikit.

"Memang ada berlaku kes guru kehilangan berdasarkan laporan diterima jabatan daripada pihak bank, kelmarin. Kita sudah pun meminta guru terlibat supaya menutup akaun mereka segera seperti mana dinasihatkan Jabatan Akauntan Negara negeri dan membuka akaun baru di bank yang sama," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Dalam masa sama, Kalsom turut menasihatkan guru-guru di negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan perlu mendapatkan maklumat sahih sebelum mengisi borang yang mengaitkan nombor akaun.

“Jika ada pihak-pihak yang meminta nombor akaun dalam bentuk e-mel, mereka perlu merujuk kepada jabatan berkenaan terdahulu. Jangan terperangkap dengan helah pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tiada ulasan: