• Datuk Ab Rauf Yusoh
1 / 1
KUALA LUMPUR - Ibu pejabat Umno setakat malam ini masih belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai peletakan jawatan 14 anggota jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Kalabakan, kata Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyiasat perkara berkenaan sekiranya laporan itu diterima.

"Setakat ini kita masih belum terima, kita akan tengok perkembangan dalam sehari dua ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, di sini, malam ini.

Kesemua 14 daripada 15 anggota jawatankuasa Wanita Umno bahagian itu dilaporkan hari ini mengambil keputusan berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan yang berlangsung Sabtu lepas.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh hari ini dilaporkan berkata, Umno bahagian itu akan menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat perwakilan khas Wanita Umno Bahagian ekoran perkembangan tersebut.

"Mengikut Fasal 12.11 Peraturan Pergerakan Wanita Umno, Wanita Umno di peringkat bahagian boleh mengadakan mesyuarat perwakilan khas, jika dua pertiga atau lebih anggotanya bertindak meletak jawatan mereka," kata Abdul Ghapur. - Bernama